Chun Yong beri amaran kepada pemainnya. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Pertembungan Malaysia dan Vietnam pada saingan separuh akhir Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 di Yogyakarta, esok seakan-akan mengulangi aksi separuh akhir edisi 2017.

Pada aksi itu yang berlangsung di Vietnam, skuad futsal lelaki negara mudah membelasah Vietnam 5-1, sekali gus menempah tiket ke pentas akhir sebelum tewas tipis 3-4 di tangan Thailand selepas masa tambahan.

Namun kini segala-galanya berubah dalam tempoh setahun apabila Vietnam bukan lagi berstatus 'pasukan belasahan' dan tidak akan memberi laluan mudah buat skuad negara mara ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut.

Sekalipun dilihat bernasib baik selepas berjaya mengelak daripada berdepan juara bertahan, Thailand (juara Kumpulan B), namun jurulatih skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong memberi amaran kepada pemainnya betapa Vietnam juga sukar dijinakkan.

"Vietnam kini berada pada satu tahap yang lebih baik dan mereka juga sudah bertaraf Piala Dunia. Malah, kedudukan mereka pada ranking dunia jauh lebih tinggi (42) berbanding kita di tangga ke-54 dunia.

"Mungkin ini ujian sebenar buat anak buah saya pada kempen kali ini. Saya boleh menjangkakan saingan sengit daripada Vietnam dan sudah pasti ini perlawanan yang jauh berbeza berbanding aksi peringkat kumpulan. 

"Jadi, saya perlu bersedia dengan taktikal yang lebih kemas dan melakukan beberapa perubahan antara pemain. Pemain juga perlu menunjukkan aksi lebih mantap berbanding sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Thailand akan bertemu tuan rumah, Indonesia bagi merebut satu lagi tiket ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah muncul juara Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) dan hanya sekadar meraih gelaran naib juara dalam empat edisi (2003, 2005, 2010, 2017).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 3:57 PM