MENTERI Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) mahu KBS bantu Mat Redho dalam sukan ekstrem. FOTO NSTP / FB Mat Redho
Naqib Nor Said
naqib@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Keluhan netizen supaya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi perhatian kepada pencapaian hebat Mohd Redha Rozlan atau Mat Redho akhirnya mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan itu.

Menerusi kenyataan di laman Twitter miliknya, Syed Saddiq berhasrat mencalonkan atlet sukan ekstrem berusia 30 tahun itu sebagai penerima Anugerah Khas bagi Anugerah Perdana Belia Negara 2018.

Katanya, pencalonan itu berdasarkan kejayaan Mat Redho menjuarai Liga Cabaran Ninja (NCL) 2018 di Perth, Australia, kelmarin selepas menewaskan juara Amerika Syarikat, Jake Murray dan wakil tuan rumah Cameron D'Silva yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan tahniah kepada saudara Mat Redho yang dinobat sebagai juara NCL 2018.

"Apabila nama Mat Redho dibawa ke perhatian saya tiga minggu lalu oleh rakan netizen mengenainya, saya telah meminta KBS (Kementerian Belia dan Sukan) mengambil maklum untuk membantunya.

"Malah, saya ingin mencalonkan dia sebagai penerima anugerah khas bagi Anugerah Perdana Belia Negara.

"Tahniah saudara! Anda menjadi inspirasi bagi ramai rakyat Malaysia dan terima kasih kerana mengharumkan nama Malaysia tercinta," kata Syed Saddiq.

Pada pertandingan itu, Mat Redho yang juga bekas pemenang program Fear Factor Malaysia menjuarai saingan Grand Final Liga Cabaran Ninja 2018 selepas berjaya melepasi semua halangan dalam tempoh 5 minit 13.09 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 7:34 PM