PUEL (tengah) meraikan kemenangan Leicester sebelum bergegas ke Thailand untuk majlis pengbumian Vichai. -Foto Reuters
AFP

CARDIFF: Pemain-pemain Leicester yang masih berkabung menghadiahkan kemenangan 1-0 penuh emosi di Cardiff kepada mendiang Vichai Srivaddhanaprabha dan akan terbang ke Thailand bagi menghadiri upacara pengebumian pemilik kelab itu.

Jutawan Thailand Vichai antara lima yang terkorban apabila helikopter mereka terhempas di luar Stadium King Power selepas perlawanan menentang West Ham Sabtu lalu.

Perlawanan di Cardiff lebih tertumpu kepada penghargaan buat pengerusi Leicester itu tetapi bekas juara Liga Perdana Inggeris berkenaan tetap fokus mencapai kemenangan tipis yang melonjak mereka ke tangga ke-10.

Detik penentuan hadir selepas 10 minit babak kedua bermula apabila pemain sayap Demarai Gray meledak gol kemenangan menewaskan penjaga gol Neil Etheridge selepas mendapat umpanan rendah daripada Ben Chilwell.

Gray mendongak ke langit dan semua pemain Leicester, termasuk penjaga gol Kasper Schmeichel, berkumpul meraikan jaringan terbabit.

Penjaring gol tunggal itu bagaimanapun tidak terlepas daripada layangan kad kuning apabila dia membuka jersinya untuk mendedahkan kemeja-T yang tertulis “Untuk Khun Vichai".

Schmeichel yang mengalirkan air mata ketika pemain-pemain Leicester dan kakitangan pasukan bertafakur seminit di tengah padang sebelum sepak mula, berkata situasi berkenaan terlalu sukar untuk ditangani dirinya dan rakan sepasukan.

“Ia hari yang penuh emosi dan kami gembira dapat meraih tiga mata untuknya,” kata pemain Denmark itu. "Setiap pemain mahu beraksi dan kemudian menghadiri upacara pengebumian itu.

“Kami gembira berjaya mengharungi perlawanan sukar ini dan membawa kemenangan ke Thailand dan berharap ia dapat membuatkan keluarganya bangga.”

Sebahagian besar pemain Leicester dan pengendalinya Claude Puel akan terbang ke Thailand bagi upacara berkenaan sebagai penghormatan kepada Vichai yang mencetus kemenangan epik buat kelab pada tahun 2016.   

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 8:41 AM