Muhammad Safawi rai jaringan ketiga menentang Maldives. FOTO SADDAM YUSOFF
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Sama ada Harimau Malaya mahu menyimpan taring atau tidak, kemenangan 3-0 ke atas Maldives pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi belum cukup meyakinkan.

Meskipun kemenangan ke atas juara Piala Persekutuan Bolasepak Asia Selatan (SAFF) September lalu itu dianggap positif namun hakikatnya masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan oleh jurulatih Tan Cheng Hoe menjelang Piala AFF, Khamis ini.

Jika tidak kerana kecekapan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, keputusan mungkin berubah dengan Maldives tidak menurunkan ramai pemain utama serta tidak berlatih selama enam minggu sejak bergelar juara.

Cheng Hoe melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utama dengan menurunkan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Nor Azam Azih dan Aidil Zafuan Radzak yang tidak berada dalam skuad ketika Malaysia tewas 0-1 di tangan Kyrgyzstan pada aksi persahabatan 16 Oktober lalu.

Skuad negara jelas membuat ancaman awal menerusi tandukan Shahrul Saad yang berjaya diselamatkan penjaga gol Hussain Shareef pada minit kelima.

Penyerang Zaquan Adha Radzak gagal menyudahkan peluang tiga minit kemudian namun kesilapan itu ditebus pada minit ke-16 dengan menyumbat gol pembukaan menerusi sepakan voli.

Namun Maldives yang dibimbing jurulatih Croatia, Petar Segrt beberapa kali mencemaskan gawang negara termasuk percubaan Ali Fasir pada minit ke-17 memaksa Khairul Fahmi menyelamatkan keadaan.

Babak kedua bersambung, pelawat yang menduduki ranking ke-151 berbanding Malaysia 169 lebih berbahaya dengan serangan balas pantas.

Dua percubaan Ibrahim Mahudhee pada minit ke-55 dan 60 hampir menghukum kesilapan pertahanan Malaysia.

Cheng Hoe melakukan enam pertukaran pada babak kedua termasuk menurunkan penyerang Safawi Rasid dan Hazwan Bakri bagi memburu gol.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila Safawi meledak gol kedua pada minit ke-81 menerusi sepakan menarik dalam kotak penalti sebelum pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh menambah gol pada minit ke-93 menerusi gerakan solo.

Malaysia akan membuka kempen Piala AFF bertemu Kemboja dalam Kumpulan A Khamis ini sebelum menentang Laos (12 November), Vietnam (16 November) dan Myanmar (24 November).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 11:08 PM