GRIEZMANN beraksi cemerlang tahun ini.
Agensi

MADRID: Anugerah berprestij, Ballon d'Or langsung tidak bermakna jika Antoine Griezmann gagal memenanginya tahun ini, menurut bekas pemain Atletico Madrid, Gabi.

Penyerang sensasi, Griezmann mengharungi tempoh 12 bulan yang menakjubkan, memenangi Piala Dunia bersama Perancis dan Liga Europa serta Piala Super Sepanyol untuk Atletico.

Pemain berusia 27 tahun itu disenarai pendek dalam senarai 30 pemain bagi anugerah berkenaan yang akan diumumkan di Paris, 3 Disember depan.

Menurut Gabi, penyerang lincah itu adalah pilihan semulajadi untuk menggondol anugerah berkenaan buat kali pertama.

“Jika mereka tidak memberikan (Ballon d'Or) kepadanya tahun ini, saya langsung tidak mengerti mengapa,” kata Gabi.

“Sebagai contoh Cannavaro memenangi Ballon d'Or kerana dia menang Piala Dunia dan tiada siapapun yang menang begitu banyak seperti Griezmann lakukan tahun ini.

“Dia menang Piala Dunia, Piala Super, Liga Europa, pemain terbaik final, banyak yang dia menangi. Saya fikir jika Griezmann tidak menang Ballon d'Or, langsung tidak masuk akal.”

Gabi beraksi bersama Griezmann selama empat musim di Atletico sebelum membuat keputusan memperlahankan kariernya dengan menyertai kelab Qatar, Al Sadd.

Dia bermain bersama bekas pemain tengah Barcelona, Xavi dan menyertai jejak penyerang legenda Sepanyol, Raul Gonzalez bermain di negara yang akan menganjurkan Piala Dunia 2022 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 2:19 PM