BALE dikritik hebat ekoran persembahan longlai ketika Real Madrid dibelasah 1-5 oleh Barcelona di Nou Camp, minggu lalu. FOTO Reuters.
Reuters

MADRID: Jurulatih sementara Real Madrid, Santiago Solari meminta Gareth Bale membalas kritikan terhadapnya dan menampilkan tahap konsisten buat juara Eropah itu yang dimalukan 5-1 oleh Barcelona minggu lalu dalam saingan ‘Clasico’.

Bale yang juga pemain dengan rekod termahal Real, menjadi kritikan minggu ini kerana persembahan longlai di Nou Camp.

Keputusan itu menyebabkan jurulatih Julen Lopetegui dipecat selepas kekalahan keempat dalam lima perlawanan liga dan kelab itu kini di tangga kesembilan La Liga Sepanyol.

Penyerang Wales itu masih belum meningkat dan menjadi tonggak utama selepas pemergian Cristiano Ronaldo ke Juventus dan dia paling banyak dikritik kerana gagal memberi tekanan terhadap lawan dan bertahan ketika Barca bermaharajalela pada babak kedua.

“Bale kini menjadi perhatian dan saya harap dia akan menunjukkan bakat besarnya,” kata Solari pada sidang akhbar menjelang pertemuan Real dalam La Liga di laman sendiri menentang Real Valladolid, esok.

“Kami mahu melihat aksinya setiap hari, dia pemain yang menakjubkan.”

Bale memiliki memori baik ketika berdepan Valladolid di Santiago Bernabeu apabila menjaringkan hatrik ketika menang 4-0 pada penampilan pertamanya bersama Madrid.

Valladolid yang dimiliki bekas pemain Real dan bintang Brazil, Ronaldo antara pasukan memiliki pakej kejutan dalam La Liga musim ini dan masih belum kalah dalam enam penampilan mereka dan kini di tangga ketiga di atas Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 12:39 AM