JOSE Mourinho. FOTO Reuters
AFP

MANCHESTER, England: Jose Mourinho percaya Manchester United masih boleh memastikan kedudukan empat terbaik Liga Perdana Inggeris sambil menyatakan jadual sukar antara sebab mereka bergelut pada awal musim.

United kini di tangga kelapan liga, lima mata daripada kelayakan ke Liga Juara-Juara ketika mereka bersedia untuk kunjungan ke Bournemouth esok.

Pengurus itu percaya pasukannya diganggu jadual sukar berturut-turut di tempat lawan sambil menjelaskan mereka perlu berkunjung ke Manchester City pada saingan Liga Perdana pada 11 November, empat hari selepas saingan Liga Juara-Juara menentang Juventus dan akan ke Liverpool pada Disember selepas saingan di tempat lawan menentang Valencia dalam saingan Eropah.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan United juga bermain berturut-turut di tempat sendiri tiga kali dalam semua pertandingan musim ini dan hanya dua kali menentang enam pasukan teratas dalam 10 perlawanan pembukaan liga.

Mourinho, pada sidang akhbar praperlawanan berkata, beliau percaya gambaran di Old Trafford akan lebih menarik pada permulaan tahun baharu.

“Saya sentiasa katakan pada penamat musim anda bermain 19 perlawanan di tempat sendiri dan lawan dan ia tidak mengapa namun realiti sebenarnya ialah jadual kadangkala memberi pengaruh ketika itu.

“Kami melalui dua perlawanan di tempat lawan pada September (di Burnley dan Watford). Kini kami ada dua perlawanan tempat lawan di Bournemouth dan Manchester City.

“Kami akan berdepan Juventus di tempat lawan sebelum ke Manchester City dan kami akan ke Valencia sebelum berdepan Liverpool di tempat mereka.

“Ketika ini, kami bermain menentang tiga calon terbesar untuk gelaran, Liverpool, Chelsea dan Manchester City, jadi kalendar tidak begitu bagus buat kami.

“Tapi saya rasa pada hujung Disember, yang juga penamat babak pertama musim Liga Perdana, kami tidak akan berada di posisi ketika ini. Kami akan berada di posisi yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 11:31 PM