Nik Sukry Ramli
sukanteam@nstp.com.my

KUANTAN: Kesabaran 26 pemain, termasuk jurulatih Kuantan FA menanti jawapan pengurusan pasukan itu sejak hujung tahun 2016, berhubung status tunggakan gaji sampai kemuncak apabila mereka sepakat membuat laporan polis petang semalam.

Laporan itu dibuat Balai Polis Sri Jaya, dekat Maran, sebagai rujukan pihak berkaitan, terutamanya pihak pengurusan yang sentiasa mencari alasan setiap kali mereka meminta penjelasan berhubung isu berkenaan.

Bekas pegawai pasukan itu, Rizal Budiman, 45, mereka sudah banyak bertolak ansur dan bersabar sebelum ini demi menjaga nama baik persatuan, namun pengorbanan mereka seolah-olah langsung tidak dihargai pihak pengurusan Kuantan FA.

“Benda ini (isu tunggakan gaji) sudah lama dan saya percaya, ramai yang sudah tahu apa yang sedang dihadapi pemain muda yang sedang mencipta nama dalam sukan bola sepak ini.

“Kalau boleh kami nak selesaikan dengan cara baik, kami ada buat kumpulan ‘whatsapp’, Presiden Kuantan FA (Datuk Zaliza Zulkifli) dan pengurus (Datuk Wan Solihin Wan Hassan) pun ada dalam ‘group’ itu... tapi, apabila kami suarakan perkara ini (tunggakan gaji), tidak ada sebarang reaksi (jawapan) diberikan.

“Sekurang-kurangnya berilah kami jawapan... kalau terus diam macam ini, susahlah... bukan sebulan dua (tunggakan gaji), tapi sudah lebih 12 bulan... bagaimana kami nak teruskan kehidupan seharian, ada antara pemain yang terpaksa bekerja kampung, kerja di pusat cuci kereta dan macam-macam lagi... itu belum bab kereta kena tarik sebab tidak mampu bayar ansuran bulanan,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Rizal berkata, masalah tunggakan gaji itu bermula sekitar bulan November tahun 2016 dan berterusan sepanjang musim 2017, sebelum syarikat milik Datuk Dr Feardaus Khairuddin mengambil alih pengurusan pasukan itu, awal tahun ini dan menggunakan nama Marcerra-Kuantan FA.

Masalah tunggakan gaji dihadapi pemain pasukan itu berterusan selepas diambil alih oleh Marcerra, sehinggalah pasukan itu sah disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia, April lalu.

Masalah membabitkan pembayaran gaji pemain dan kakitangan kejurulatihan Kuantan FA sudah dimaklumkan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan turut mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada September 2017.

FAM juga pernah mengarahkan Kuantan FA membayar tunggakan gaji berjumlah RM145,250 kepada enam pemain pasukan itu pada Disember lalu.

Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) pada awal tahun ini juga sudah mengeluarkan arahan kepada Kuantan FA untuk menyelesaikan isu berkenaan bagi mengelak daripada dikenakan tindakan tegas.

Sementara itu, bekas penjaga gol Kuantan FA, Mohd Rosfaizul Azuar Ali berharap pihak FAM dan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) campur tangan dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka sejak sekian lama.

“Kalau boleh kami minta kerjasama FAM, PBNP dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bantu kami mendapatkan pembelaan dalam perkara ini.

“Sudah lama kami bersabar dan berbagai cara kami buat untuk mendapatkan penjelasan daripada mereka (pihak pengurusan), semuanya menemui jalan buntu... sudah banyak kali kami ajak mereka (pihak pengurusan) berjumpa (untuk mencari jalan menyelesaikan isu ini), namun tidak berhasil.

“Kami pun sudah tidak tahu apa lagi yang perlu dibuat dan berharap apabila perkara ini disebarkan melalui media, mungkin mereka (pihak pengurusan) akan lebih serius dan boleh berjumpa dengan kami untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Difahamkan, 26 pemain dan pegawai pasukan Kuantan FA sepatutnya menerima gaji bulanan antara RM2,000 hingga RM12,000 dan tunggakan ditanggung pihak pengurusan pasukan itu dianggarkan berjumlah kira-kira RM3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 11:27 AM
RIZAL (duduk tengah) bersama bekas pemain dan pengurusan bola sepak pasukan Kuantan FA meluahkan ketidakpuasan berikutan masalah tunggakan pembayaran gaji. -Foto MUHD ASYRAF SAWAL