FRANK LAMPARD
AFP

LONDON: Chelsea menyingkirkan Derby kendalian Frank Lampard daripada saingan Piala Liga awal pagi tadi untuk menempah tempat ke suku akhir.

Skuad kendalian Maurizio Sarri menang 3-2 dengan kelima-lima gol hadir di babak pertama, termasuk dua jaringan sendiri pemain Derby di Stamford Bridge.

Fikayo Tomori – pemain pinjaman dari Chelsea dan Richard Keogh membolosi gawang sendiri untuk memadamkan jaringan rakan sepasukan, Jack Marriot di awal babak pertama.

Anak buah Lampard bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi Martyn Waghorn sebelum Cesc Fabregas meledak gol kemenangan tuan rumah.

Lampard, antara bekas bintang terhebat Chelsea, merasakan skuad kendaliannya berhak mendapat keputusan seri berdasarkan peluang yang dicipta tetapi tetap menganggap dirinya bertuah kerana masih mampu menikmati kepulangan ke Stamford Bridge itu.

“Perbezaan antara kedua-dua pasukan adalah mereka menjaringkan tiga gol...sebenarnya kami jaringkan empat bukan? Saya berjenaka kerana saya bangga,” kata Lampard.

“Mereka sendiri berpendapat yang kami bermain dengan baik. Saya menghormati kelab ini, saya tidak perlu bercakap tentang kelab ini. Saya bangga dengan pemain-pemain saya.”

Bekas pemain tengah England berusia 40 tahun itu disambut meriah pada kepulangan pertamanya ke Stamford Bridge sebagai pengendali.

Selepas cemerlang menewaskan pasukan kendalian bekas bosnya di Chelsea, Jose Mourinho menerusi sepakan penalti di Old Trafford, Lampard menyaksikan peluang mara ke suku akhir dicemari dua gol sendiri anak buahnya.

Timori tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang Davide Zappacosta pada minit kelima. Selepas Marriot menyamakan kedudukan empat minit kemudian, Keogh pula membolosi gawang sendiri pada minit ke-21, juga berpunca daripada hantaran Zappacosta.  

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 11:31 AM