CHRIS FROOME
AFP

MILAN: Penyandang juara Chris Froome tidak pasti sama ada mahu mempertahankan kejuaraan Giro d’Italia walaupun teruja dengan laluan dan perlumbaan edisi ke-102 yang diperkenalkan secara rasmi di Milan.

Froome, 33, menjadi pelumba Britain pertama muncul juara di Giro Mei lalu dan melengkapkan trofi ‘grand slam’ selepas berjaya meraih kejuaraan Tour de France dan Vuelta Espana pada 2017.

“Permulaan seperti itu, bermula dengan ujian masa di Bologna, memang sangat memukau dan menarik. Saya sangat sangat menyukai edisi Giro kali ini, ia hanya boleh dimenangi oleh seorang pelumba yang lengkap. Laluannya sangat seimbang di antara pergunungan dan landai,” kata Froome.

Froome menamatkan perlumbaan Tour de France tahun ini di tempat ketiga, di mana ia dimenangi rakan sepasukannya, Geraint Thomas (Sky).

Tempoh yang singkat selepas Giro berakhir pada 2 Jun dan bersambung dengan permulaan Tour de France pada 29 Jun dan juara empat kali perlumbaan nombor satu dunia itu sudah pasti akan mengetepikan perlumbaan di Itali.

“Saya 100 peratus tidak pasti sama ada akan mengambil bahagian di Giro d’Italia 2019. Keputusan akan dibuat pada Disember ini.

“Jersi pink adalah satu penghormatan tertinggi buat saya, ia sebelum ini tiada dalam koleksi saya. Setiap jersi sangat penting dalam sejarah berbasikal dan ia menjadi idaman sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

“Ia juga perlumbaan sangat penting buat pasukan kerana kali ini Team Sky akan menyambut ulang tahun buat kali ke-10. Kami semua akan berkumpul Disember ini dalam kem latihan, jadi saya rasa ketika itu kami bakal membuat keputusan untuk perlumbaan tahun depan,” kata Froome.

Tahun ini Giro bermula di Israel tapi tahun depan yang merangkumi laluan keseluruhan sejauh 3,518 kilometer bakal membabitkan keseluruhan Itali, serta sebahagian di San Marino bagi ujian masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 10:52 AM