AIYAWATT SRIVADDHANAPRABHA
Reuters

LONDON: Naib Presiden Leicester City, Aiyawatt Srivaddhanaprabha memberi penghormatan terakhir penuh emosi dan bertekad meneruskan legasi ayahnya.

Vichai ahli perniagaan dari Thailand yang juga Pengerusi Foxes terbunuh bersama empat lagi penumpang apabila helikopter mereka terhempas di luar Stadium King Power selepas tamat perlawanan menentang West Ham, Sabtu lalu.

Aiyawatt dan ibunya Aimon meletakkan kalungan bunga di stadium itu sambil membaca mesej. Di sampingnya ratusan bunga, baju dan skarf ditaburkan peminat sebagai mengenang jasa pengasas King Power International Bebas Cukai yang disanjung tinggi penyokong Leicester.

“Saya berterimakasih kepada semua orang yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi,” kata Aiyawatt dalam kenyataannya.

“Terima kasih juga kepada Polis Leicestershire dan pasukan kecemasan. Tindakan pantas mereka menyelamatkan orang ramai daripada turut menjadi mangsa selain tindakan profesional dan sensitiviti mereka beberapa hari ini.”

“Apa yang berlaku menyedarkan saya betapa pentingya bapa saya kepada ramai orang di seluruh dunia dan saya sangat tersentuh dengan penghormatan yang mereka berikan.”

Vichai membeli Leicester City pada 2010 dan kemudiannya menggegarkan bola sepak Inggeris dengan muncul juara Liga Perdana pada 2016.

“Saya sangat bangga mempunyai ayah yang luar biasa. Daripadanya saya mempunyai misi besar dan legasi yang perlu diteruskan dan saya tekad menjalankan tugas dengan sebaiknya,” katanya lagi.

“Dia menyayangi keluarganya dan menjadikan Leicester City anggota keluarga. Tiada yang lebih membanggakannya apabila melihat keluarga Leicester City ini menyokong sesama sendiri ketika masa sukar.”

Selepas selesai tugas forensik, Polis Leicestershire mengesahkan Vichai salah seorang daripada lima yang terkorban.

“Proses mengenal pasti indentiti empat yang lain dipercayai Nusara Suknamai, Kaveporn Punpare, Eric Swaffer dan Izabela Roza Lechowicz masih diteruskan,” menurut jurucakap polis.

Leicester pula mengesahkan aksi Liga Perdana menentang Cardiff City pada Sabtu ini akan diteruskan selepas aksi Piala Liga menentang Southampton semalam ditunda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 8:41 AM