TATIANA CALDERON
Reuters

MEXICO CITY: Pelumba Colombia, Tatiana Calderon menjadi wanita pertama dari benua Amerika Latin memandu jentera Formula Satu (F1) sebagai memenuhi jemputan rasmi dalam acara promosi pasukan Sauber di sini, hari ini.

Pelumba GP3 berusia 25 tahun itu dilantik sebagai pemandu ujian Sauber pada Mac lalu selepas setahun memainkan peranan sebagai pemandu pembangunan, namun akhirnya dia diberi peluang menguji jentera F1.

“Sukar untuk saya menggambarkan perasaan saya sebaik berada di dalam jentera, rasa seperti tidak mahu kembali menggunakan jentera GP3,” kata Calderon.

Bagaimanapun, pasukan itu hanya dibenarkan menekan pedal untuk jarak 100km – bersamaan 23 pusingan Grand Prix Mexico. 

“Sejak mula berlumba, impian saya hanya untuk beraksi di pentas tertinggi,” katanya sebaik diumumkan berpeluang menguji jentera C37 di litar Hermanos Rodriguez.

Calderon yang ditaja oleh syarikat Mexico Telmex, menjadi wanita pertama berpeluang memandu jentera F1 terkini sejak pelumba Britain, Susie Wolff yang bersara pada tahun 2015 selepas mengambil bahagian dalam dua sesi ujian buat Williams.

Pelumba Colombia itu menaruh harapan untuk bertanding dalam Formula Dua (F2) musim depan.

Kali terakhir F1 mempunyai pemandu wanita dalam grand prix ialah pada tahun 1976 menerusi Lella Lombardi dari Itali.  

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 2:28 PM