LEICESTER tetap akan bermain menentang Cardiff walaupun baru seminggu kehilangan pemiliknya yang maut terkorban apabila helikopternya terhempas di luar stadium King Power. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Leicester mengesahkan pertemuan Liga Perdana Inggeris di Cardiff akan diteruskan Sabtu ini walaupun baru saja dikejutkan dengan tragedi kematian pemiliknya Vichai Srivaddhanaprabha.

Jutawan Thailand, Vichai antara lima yang terkorban apabila helikopternya terhempas di luar stadium King Power sejurus selepas perlawanan antara Leicester dan West Ham.

Dengan penyokong berkabung di kawasan stadium dan kawasan kemalangan ditutup untuk siasatan, Leicester memutuskan untuk menunda perlawanan Piala Liga menentang Southampton yang dijadualkan semalam.

Bagaimanapun kelab mengumumkan yang mereka tetap akan bertandang ke selatan Wales bagi bertemu Cardiff hujung minggu ini.

Bertafakur seminit akan dilakukan sebelum sepak mula di Stadium Cardiff City dan pemain-pemain akan memakai lilitan hitam bagi memperingati Vichai.

“Perlawanan Liga Perdana Leicester City di Cardiff City Sabtu ini akan diteruskan mengikut jadual, dan kelab akan terus memperingati mendiang pengerusinya, Vichai Srivaddhanaprabha,” kata Leicester dalam satu kenyataan.

“Pengumuman berkenaan tarikh perlawanan pusingan keempat Piala Liga menentang Southampton, yang ditunda awal minggu ini, akan dibuat dalam masa terdekat.”

Kematian Vichai mengejutkan dunia bola sepak.

Dia bertanggungjawab menukar kelab tidak ternama itu kepada juara epik Liga Perdana pada tahun 2016 hanya selepas enam tahun membuat pelaburan besar dengan membeli Leicester City.

Usahawan 60 tahun itu turut dipuja di Leicester kerana kerja kebajikannya terhadapa penduduk setempat.

Bahagian Siasatan Nahas Udara (AAIB) masih menyiasat punca kemalangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 8:42 AM