STADIUM King Power. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Leicester City menimbangkan untuk menamakan semula stadium mereka sempena nama Vichai Srivaddhanaprabha, menurut sumber dalaman kelab.

Vichai berusia 60 tahun antara lima orang yang terbunuh dalam nahas helikopter di luar Stadium King Power selepas tamat perlawanan menentang West Ham yang berkesudahan 1-1 pada Sabtu lalu.

Dua petugas Vichai, Nursara Suknamai dan Kaveporn Punpare turut terbunuh bersama juruterbang Eric Swaffer dan pembantunya Izabela Roza Lechowicz.

Anak lelaki Vichai, Aiyawatt yang juga naib pengerusi kelab kini berada di Leicester untuk memberi penghormatan terakhir dan akan berunding dengan ketua eksekutif, Susan Whelan minggu ini mengenai cara terbaik mengenang jasa bapanya. Beliau juga dijangka mengambil alih tugas pengerusi buat sementara, menurut sumber itu.

Aiyawatt bersama beberapa pegawai kanan King Power Group lebih berminat menamakan semula Stadium King Power kepada Stadium Khun Vichai. Kelab itu juga dijangka membina kemudahan latihan baru yang menelan kos $100 juta (RM534 juta) dan akan mengambil sempena nama bekas pemilik kelab itu. Kompleks itu mempunyai stadium berkapasiti 500 tempat duduk dan 12 padang latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 3:52 PM