RANIERI (tengah) dan mendiang Vichai (kiri) ketika pengurus itu masih lagi bersama Leicester. -Foto EPA
AFP

MILAN: Claudio Ranieri mendedahkan betapa beliau ‘begitu sedih’ dengan berita kematian pemilik Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha.

Ranieri, 66, dilantik untuk mengemudi The Foxes pada 2015 dan mencipta sejarah menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) pada tahun berikutnya.

Jutawan Vichai, 60, terbunuh bersama empat lagi individu apabila helikopter dinaiki mereka terhempas di tempat letak kereta bersebelahan Stadium King Power, selepas pasukannya terikat 1-1 dengan West Ham, Sabtu lalu.

“Saya menggigil dan begitu sedih dengan berita itu,” kata Ranieri kepada Sky Sport Italia dalam reaksi sulungnya sejak nahas itu berlaku.

“Beliau adalah lelaki yang hebat dan sentiasa memberi kata positif kepada semua orang. Sikap positif dan kemampuannya membuat kita boleh melihat betapa orang lain cukup menyayanginya.

“Beliau sering kali memasuki bilik persalinan untuk berkongsi kata positif tanpa menyakitkan hati sesiapa.

“Pernah sekali selepas sambutan hari lahir saya, beliau tiba di bilik persalinan bersama kek dan membuatkan semua orang menyanyikan lagu ‘hari jadi’.

“Beliau adalah lelaki yang istimewa dan apa yang dilakukannya sentiasa menyentuh hati semua.”

Ranieri berkata, kini semuanya terserah kepada anak Vichai ‘yang begitu meminati bola sepak’ untuk mengikut jejak langkah bapanya.

Malah, beliau cuba mengimbau semula pertemuan kali pertamanya dengan Vichai.

“Sebaik bertemu dengannya saya dapat melihat beliau sebagai seorang yang positif dan amat bertenaga. Objektif pertama saya di Leicester adalah untuk memastikan tidak terhumban ke zon penyingkiran, dan kemudiannya kita tahu apa yang terjadi.

“Vichai Srivaddhanaprabha memberi sumbangan besar dalam kejayaan Leicester menjulang gelaran EPL. Beliau akan tiba 30 minit sebelum perlawanan dan memberi kata-kata semangat kepada kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 11:47 AM