CONTE calon terbaik ganti Lopetegui. FOTO/AGENSI
AFP

MADRID: Real Madrid dijangka memecat Julen Lopetegui selepas kekalahan memalukan 5-1 kepada Barcelona dan bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte bakal menggantikannya, menurut laporan media Sepanyol hari ini.

Skuad Lopetegui mencatat empat kemenangan, dua seri dan empat kali kalah menyebabkan mereka kini terperosok di tangga ke-9 La Liga, tujuh mata di belakang pendahulu, Barcelona.

Pengurus berusia 52 tahun itu dipecat oleh Sepanyol menjelang Piala Dunia tahun ini selepas menerima jawatan pengendali baharu Real di Bernabeu.

Bagaimanapun, semuanya tidak menjadi buat Lopetegui apabila prestasi Real setakat ini adalah yang terburuk dalam tempoh 70 tahun dan presiden kelab Florentino Perez tampak sudah hilang sabar selepas diaibkan Barca, kelmarin.

Media pula bersimpati dengan nasib Lopetegui apabila muka depan akhbar harian sukan Marca menyifatkan ‘kemelut Real bukan salah Julen sahaja’. Editor AS Alfredo Relano mengkritik kegagalan kelab menggantikan 50 gol semusim yang Real hilang sejak ketiadaan Cristiano Ronaldo.”

Selepas gagal mendapatkan Mauricio Pochettino dari Tottenham, media melaporkan Perez kini mengalih tumpuan kepada Conte yang masih bersama Chelsea ketika Lopetegui dilantik pada Jun lalu.

Conte yang menjuarai Liga Perdana ketika musim pertamanya bersama Chelsea selepas mencipta hatrik kejuaraan Serie A bersama Juventus dipecat oleh kelab London itu pada Julai lalu.

Media Sepanyol turut menjangkakan jurulatih pasukan simpanan Santiago Solari akan mengambil alih tugas pada perlawanan pertengahan minggu Copa del Rey menentang Melilla dengan Conte bakal bertugas ketika menentang Valladolid dalam aksi La Liga pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 9:55 PM