LEWIS HAMILTON

MEXICO CITY: Lewis Hamilton tetap merendah diri walaupun berjaya meraih kejuaraan Formula Satu (F1) buat kali kelima kerana baginya, masih banyak lagi pencapaian perlu diburu dalam kariernya.

Pelumba Mercedes itu menyertai legenda Argentina, Juan Manuel Fangio (lima kali) dan Michael Schumacher (tujuh kali) selepas meraih kejuaraan buat kali kelima apabila menamatkan saingan di tempat keempat di Grand Prix (GP) Mexico, pagi tadi.

“Saya akan cuba dan kini saya sudah meraih kejuaraan kali kelima,” kata Hamilton apabila ditanya mengenai pencapaian Schumacher yang meraih tujuh kali kejuaraan.

Jelasnya, dia akan bermula dari sekarang dan menjangkakan lebih banyak lagi perkara menarik bakal berlaku selepas ini.

Hamilton sudah memenangi 71 perlumbaan, kurang 20 daripada Schumacher dan kejuaraan kali keempat bersama Marcedes dalam tempoh lima tahun.

Kejuaraan pertama yang diraihnya ialah ketika mewakili pasukan McLaren pada 2008.

Dia hadir ke Mexico dengan kelebihan 70 mata dan hanya perlu menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh untuk menamatkan penantian berkenaan.

“Kini, saya rasa sangat merendah diri dengan segala pengalaman yang diraih. Ia sukar untuk digambarkan. Memang ia adalah cita-cita saya, namun tidak pernah saya terfikir walaupun seribu tahun untuk berdiri di sini sebagai juara dunia buat kali kelima,” katanya.

Hamilton mengucapkan terima kasih buat pasukan, keluarga dan bapanya berikutan kepercayaan dan pengorbanan yang diberikan selama ini.

“Ini adalah matlamat saya (muncul juara musim ini). Selepas meraihnya tahun lalu, saya terfikir bagaimana untuk mempertingkatkan prestasi, menjadi lebih cergas, kekal fokus dan menguruskan masa dengan sebaik mungkin.

“Pelumba yang baik bukan semata-mata hanya berada di dalam kereta, tetapi mementingkan hubungan bersama pasukan ketika di dalam garaj.

“Tahun ini, saya mampu menjulang kejuaraan mereka bersama. Saya tidak pasti sama ada ia ada kaitan dengan usia, mungkin daripada segi pengalaman banyak membantu saya.

“Secara jujurnya saya berjaya memberikan yang terbaik tahun ini. Saya sangat gembira dengan apa yang dilalui.

“Bagi saya, perasaan ini seperti membuktikan saya mampu untuk membawa apa saja jenis jentera dan memacunya ke tempat yang orang lain tidak mampu.

“Bagaimanapun, untuk melakukan seperti itu anda harus pastikan jentera berada dalam keadaan baik dan sentiasa bekerjasama dengan pasukan,” katanya. - Reuters

Info: Keputusan GP Mexico

1 Max Verstappen (Red Bull) - 1:38:28.851

2 Sebastian Vettel (Ferrari) - +17.316s

3 Kimi Raikkonen (Ferrari) - +49.914s

4 Lewis Hamilton (Mercedes) - +78.738s

5 Valtteri Bottas (Mercedes) - + 1 LAP

6 Nico Hülkenberg (Renault) - + 2 LAP

7 Charles Leclerc (Sauber) - + 2 LAP

8 Stoffel Vandoorne (McLaren) - + 2 LAP

9 Marcus Ericsson (Sauber) - +2 LAP

10 Pierre Gasly (Toro Rosso) - +2 LAP

11 Esteban Ocon (Force India) - +2 LAP

12 Lance Stroll (Williams) - +2 LAP

13 Sergey Olegovich (Williams) - +2 LAP

14 Brendon Hartley (Toro Rosso) - +2 LAP

15 Kevin Magnussen ( Haas) - +2 LAP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 11:29 AM