PENYOKONG Leicester memberi penghormatan kepada mendiang Vichai Srivaddhanaprabha. -Foto AFP

LEICESTER CITY : Sejumlah besar peminat mula meletakkan ratusan selendang bola sepak, kemeja t dan bunga di luar stadium semalam, sehari serlepas jutawan pemilik kelab yang juga rakyat Thailand itu terbunuh dalam nahas helikopter di luar stadium berkenaan.

Antara ratusan barangan diletakkan sebagai penghormatan Vichai Srivaddhanaprabha, pengasas kejayaan epik Liga Premier 2016 adalah imej Dewa Ganesh, tuhan Hindu yang sering kelihatan di kuil Buddha Thailand.

Ketika kenderaan kecemasan berulang alik ke lokasi nahas, sejumlah besar orang hadir ke luar premis berkenaan untuk melahirkan rasa simpati mereka antaranya seorang lelaki bertongkat, bapa yang mententeramkan anak dan wanita yang membawa sejambak bunga berwarna biru serta putih iaitu warna rasmi kelab berkenaan.


SEBAHGIAN daripada bunga dan nota penghormatan ke atas mangsa tragedi helicopter terhempas. -Foto Reuters

“Beliau melakar nama Leicester dalam peta dunia. Beliau menjadikan kami besar dan bukan lagi sebuah kelab kecil,” kata seorang penyokong, Cathy Dann yang berusia 55 tahun, sebelum kematian Vichai disahkan.

John Welford, 68 berkata, “Seorang lelaki yang menakjubkan! Saya seorang penyokong selama 60 tahun dan secara peribadi merasakan beliau antara pemilik terbaik pernah kami miliki”.

Ribuan peminat sebenarnya sudah membanjiri stadium walaupun kematian Vichai, 60 tahun belum disahkan secara rasmi.

Empat lagi individu termasuk dua petugas Vichai turut terbunuh dalam nahas berkenaan.

Buat peminat, Vichai akan diingati sebagai individu berkarisma dan kental yang menjadi pemacu di sebalik kejayaan kelab itu menduduki tangga teratas liga dua tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 11:10 AM