PEMINAT kelab Leicester City berhimpun di Stadium King Power selepas kejadian helikopter terhempas, awal pagi hari ini. Foto AFP

PENGERUSI dan pemilik kelab Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha adalah antara lima individu berada di dalam helikopter yang terhempas di tempat letak kereta bersebelahan stadium kelab itu, awal pagi hari ini.

Menurut sumber terdekat keluarga pemilik The Foxes itu, turut berada di dalam helikopter sama adalah anak perempuan Vichai, dua juruterbang dan individu kelima masih belum diketahui.

“Masih belum ada sebarang pengesahan sama ada kesemua individu di dalam helikopter itu terselamat,” kata sumber itu lagi.

Terdahulu, pegawai dari kelab dan King Power International enggan mengulas lanjut sama ada Vichai berada di dalam helikopter apabila ia hilang kawalan dan terhempas sejam selepas berakhir perlawanan membabitkan Leicester City dan West Ham United.

Menurut saksi, helikopter itu dilihat naik dengan sempurna di atas stadium sebelum ia mula berpusing. Ia kemudian terhempas ke bawah sebelum terbakar.

Jurucakap kelab itu berkata: “Kami sedang membantu polis Leicestershire dan perkhidmatan kecemasan dalam menguruskan insiden besar di Stadium King Power.”


VICHAI Srivaddhanaprabha. FOTO Arkib AFP

John Butcher yang berada berhampiran dengan stadium ketika kejadian itu berkata, anak saudaranya menyaksikan sebuah helikopter berpusing dan hilang kawalan.

“Tidak berapa lama selepas itu ia terhempas seperti batu jatuh ke lantai. Mujur ia hanya berpusing seketika dan semua orang sempat menyelamatkan diri. 

“Setahu kami tiada orang di tempat letak kereta yang terbabit dengan insiden berkenaan,” katanya.

Di Thailand, pegawai King Power berkata, mereka tidak boleh memberikan sebarang komen berhubung insiden itu.

Vichai begitu popular di kalangan peminat selepas beliau mengambil alih Leicester City pada 2010 dan kemudian mengejutkan dunia apabila kelab itu memenangi kejuaraan liga pada 2016.  – AFP

Berita berkaitan

[UPDATE] King Power enggan ulas

Helikopter pemilik 'The Foxes' terhempas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 7:25 PM