PENGURUS pasukan Monaco, Thierry Henry. FOTO AFP
AFP

PARIS: Thierry Henry masih lagi memburu kemenangan sulung sebagai pengurus AS Monaco selepas mereka bergelut dalam saingan Ligue 1 apabila seri 2-2 menentang Dijon, manakala pasukan tangga kedua Lille mengekalkan rentak kemenangan keempat berturut-turut.

Henry, yang menggantikan Leonardo Jardim awal bulan ini, memerlukan tandukan padu pertahanan tengah, Kamil Glik pada minit ke-78 untuk mengelak kekalahan kelima berturut-turut Monaco dalam liga.

Pertahanan tengah dari Jerman, Benjamin Henrichs membuka jaringan buat Monaco pada minit ke-30 tetapi juara Perancis 2017 itu ketinggalan selepas Dijon bangkit dengan dua gol Mickael Alphonse dan Mehdi Abeid.

Pemain kebangsaan Poland, Glik menyelamatkan Monaco untuk meraih satu mata selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam 13 perlawanan dalam semua pertandingan serta satu anak tangga di depan kelab tercorot, Guingamp yang seri 1-1 dengan Strasbourg.

“Amat bagus kami bangkit untuk mencatat keputusan seri namun ia bukan kemenangan. Saya masih kekal positif,” kata Henry yang kehilangan Nacer Chadli selepas mengalami kecederaan ketika sesi memanas badan.

Ketiadaan pemain kebangsaan Belgium itu menambahkan masalah buat Monaco, selepas Henry terpaksa menurunkan penjaga gol keempat ketika seri 1-1 dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Club Brugge, Rabu lalu.

Penjaring terbanyak Monaco setakat ini, Radamel Falcao terpaksa dikeluarkan ketika penampilan sulung Henry sebagai pengurus hujung minggu lalu, yang mana ketika itu mereka tumpas 1-2 di tangan Strasbourg.

Stevan Jovetic pula mengalami kecederaan ketika di Bruges dan Rony Lopes masih belum dapat diturunkan.

“Situasinya amat sukar. Kami bercakap mengenai mereka yang tiada di sini. Bagaimanapun, saya mahu bercakap mengenai mereka yang berada di tengah padang.

“Kami tidak tumpas di Bruges, begitu juga hari ini. Sekarang kami harus berjuang dan meraih keputusan positif untuk dibawa pulang (Sabtu depan di Reims),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 11:44 AM