Faizal dapat perkenan Sultan Perak umum cuti Isnin. FOTO Hm Digital
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my


IPOH: Kerajaan Perak mengumumkan cuti khas peristiwa pada Isnin ini sekiranya pasukan bola sepak Perak berjaya merangkul Piala Malaysia malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How, berkata perkara itu diputuskan selepas berbincang bersama Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Katanya, ia juga selaras dengan Akta Hari Kelepasan Am 1951, sebagaimana yang diumumkan kerajaan Terengganu sebelum ini yang mengumumkan cuti khas peristiwa esok di negeri berkenaan.

"Ini adalah satu detik bersejarah arena bola sepak Perak dan penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat negeri ini yang memberikan sokongan padu kepada pasukan Perak sehingga mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Howard juga berkata, kerajaan negeri akan memberi ganjaran dan insentif kepada semua pemain serta pegawai yang terbabit yang bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, namun ia hanya akan diumumkan selepas trofi berprestij itu berjaya dimenangi.

Beliau berharap pengumuman itu akan menjadi suntikan semangat kepada semua pemain The Bos Gaurus (TBG) untuk berjuang habis-habisan pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Selangor, malam ini.

"Marilah kita tunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi serta semangat kesukanan tinggi demi memastikan lakaran sejarah kejayaan pasukan Perak dapat direalisasikan pada pertembungan dengan pasukan Terengganu malam ini," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan pemberian bonus RM15,000 kepada setiap pemain selepas Perak berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir piala berprestij itu apabila menumbangkan Sabah dengan agregat 7-2 pada perlawanan separuh akhir.

Kali terakhir Perak memenangi Piala Malaysia ialah pada tahun 2000 selepas menumpaskan Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 3:05 PM