Lopetegui cari nafas baru di Nou Camp. FOTO AFP
AFP

BARCELONA: Julen Lopetegui menyatakan ia hari paling gembira dalam kehidupannya apabila dinamakan sebagai jurulatih Real Madrid namun tidak dapat membayangkan mengenai situasi semasa.

Kekalahan di Nou Camp Ahad ini mungkin penamat buatnya.

Jika Florentino Perez sudah memutuskan mengenai penggantinya, keputusan menentang Barcelona mungkin tidak bermakna. Seri atau mungkin kemenangan buat Madrid, ia bukannya sesuatu yang mustahil. Apatah lagi perlawanan itu kehilangan penyerinya Lionel Messi yang cedera dan Cristiano Ronaldo susulan perpindahan ke Juventus.

“Ia perlawanan hebat buat kami ketika ini kerana kami tiada pilihan selain menang,” kata Toni Kroos minggu ini. “Kami perlu menunjukkan betapa bagusnya kami menentang lawan sukar dan saya fikir kami boleh melakukannya.”

Kemenangan mengejut mungkin menyaksikan pemecatan Lopetegui sukar diterima namun lima perlawanan tanpa menang, lebih lapan jam tanpa sebarang gol, ia tidak mungkin mudah dilupakan.

Mereka diejek selepas perlawanan Selasa lalu, penyokong tuan rumah bosan melihat pasukan yang menampilkan penjaga gol, pertahanan dan pemain terbaik UEFA hanya menang 2-1 ke atas Viktoria Plzen pada aksi Liga Juara-Juara.

Selepas perlawanan itu, Lopetegui bercakap mengenai usaha mengubah nasib pasukan itu. “Saya tidak selalu tersenyum,” katanya. Persembahan buruk Madrid melemahkan lagi kedudukannya.

Pemain tengah Isco menegaskan Isnin lalu, jika mereka memecat jurulatih itu, mereka patut memecat pemain juga.

Lopetegui turut menekankan pemain yang dilepaskan kelab itu pada musim panas lalu, Ronaldo mempunyai purata 50 gol semusim.

Pemain Real turut berasakan mereka bergelut sebelum ini bukan saja ketika di bawah kendalian Zinedine Zidane musim lalu.

“Keyakinan bagi saya bukan satu masalah,” kata Kroos, yang mana jurulatih Jerman, Joachim Loew antara yang dipertimbang sebagai pengganti Lopetegui.

“Kami mempunyai ramai pemain dengan pingat juara Piala Dunia dan Liga Juara-Juara dan kami sudah membuktikan sebelum ini kami boleh mengubah situasi sukar. Ingat tak dalam beberapa tahun kebelakangan, kami bukan hanya bermain perlawanan yang bagus, ada kalanya permainan kami tidak menjadi juga.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 2:49 PM