PEMAIN Hoffenheim meraikan jaringan Joelinton. -Foto EPA
AFP

HOFFENHEIM: Jaringan minit akhir Joelinton menyelamatkan pasukannya Hoffenheim daripada ambang kekalahan apabila bangkit mengikat Lyon 3-3 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah sekali gus kekal sebagai pencabar untuk mara ke pusingan berikutnya.  

Hoffenheim yang sememangnya memburu kemenangan pertama dalam kempen kali ini ketinggalan pada awal permainan sebelum bangkit untuk mendahului 2-1. 

Begitupun pelawat bijak menggunakan kesilapan benteng tuan rumah dan berjaya menjaringkan dua gol lagi buat mendahului Hoffenheim yang kemudiannya tampil lebih garang sebelum Joelinton muncul penyelamat di hujung saingan.

Hasil keputusan seri itu, menyaksikan Hoffenheim yang juga kelab dari Jerman itu kini mengumpul dua mata di kedudukan tiga selepas mengharungi tiga perlawanan, sementara Lyon dengan lima mata untuk berada di tangga kedua Kumpulan F.

Dalam aksi itu, Lyon terlebih dulu mengejutkan penyokong tuan rumah apabila Bertrand Traore mencetak namanya selaku penjaring pada minit ke-26.

Gol itu nyata menyentap semangat pemain tuan rumah dan hasilnya mereka berjaya meraih dua gol menerusi ledakan Andrej Kramaric pada minit ke-32 dan 47.

Pelawat kembali menyusun rentak dan akhirnya Tanguy Ndombele dan Memphis Depay kembali meletakkan tuan rumah dalam tekanan dengan meledak pada minit ke-59 dan 67 bagi membolehkan kelab dari Perancis itu berkelebihan 2-3.

Ketika perlawanan dilihat seakan memihak Lyon, Joelinton muncul wira untuk mengikat kedudukan sekali gus melegakan ribuan penyokong tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 10:07 AM