SKUAD FELCRA FC masih berteka teki sama ada kekal atau menarik diri. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my

 

SHAH ALAM: FELCRA FC masih mempunyai tempoh sehingga 15 November ini untuk membuat keputusan, sama ada kekal atau menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

 

Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada semua pasukan untuk mengesahkan penyertaan sebelum tarikh itu.

 

"Pasukan pertama yang mengesahkan penyertaan untuk beraksi tahun depan adalah Selangor yang kita terima hari ini," kata Shazli pada sidang media di sini, hari ini.

 

"Jadi ini bermakna, FELCRA masih ada lagi masa untuk mencari penaja sekiranya mereka masih berminat untuk bermain dalam Liga M musim depan.

 

"Ketika ini memang kita menerima makluman Pengerusi FELCRA (Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab) umumkan tiada bajet untuk pasukan itu.

“Tetapi di peringkat MFL, kami belum menerima apa-apa surat rasmi berhubung status penyertaan mereka untuk tahun depan."

 

Mohd Nageeb pada sidang media, Jumaat lalu berkata, FELCRA FC akan dibubarkan kerana memerlukan kos sebanyak RM8 juta semusim dan tidak memberi keuntungan.

 

FELCRA mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila muncul naib juara Liga Perdana musim ini dan layak beraksi di Liga Super musim depan.

 

Pengumuman yang dibuat Mohd Nageeb itu juga mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai pasukan mana yang bakal menggantikan tempat mereka dalam Liga Super.

 

Namun, Shazli ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, setakat ini tiada keputusan yang dibuat dan ia akan diputuskan oleh Lembaga Pengarah MFL.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 8:25 PM