PENYOKONG Real tak rela anak buah Lopetegui terkulai di laman sendiri. FOTO/AGENSI
AFP

MADRID: Pemain Real Madrid mungkin menyokong jurulatih Julen Lopetegui secara terbuka namun jika gagal menang di laman sendiri menentang Viktoria Plzen pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini, kata-kata mereka tidak begitu bermakna.

“Julen mendapat sokongan penuh pasukan ini,” kata kapten Sergio Ramos selepas Madrid tumpas 1-2 kepada Levante Sabtu lalu, kekalahan keempat mereka dalam lima perlawanan dan ketiga berturut-turut. “Kami menyokongnya hingga mati,” kata pertahanan Marcelo.

Musim ini sudah tiga bulan berlalu dan jelas ada beberapa alternatif jika presiden kelab itu Florentino Perez memutuskan untuk memecatnya.

Santiago Solari, jurulatih Castilla yang juga pasukan Real Madrid B, boleh mengambil alih secara sementara namun pencarian bagi jurulatih baru tidak mudah kali ini.

Mauricio Pochettino, Juergen Klopp dan Maximiliano Allegri hampir pasti mustahil diikat pada pertengahan musim manakala Joachim Loew masih terikat dengan Jerman.

Antonio Conte tidak bekerja namun ada isu dengan corak permainan jurulatih Itali itu, apatah lagi tuntutan pampasannya dengan Chelsea belum berakhir. Arsene Wenger menarik tetapi berisiko tinggi.

Bagi Lopetegui untuk menamatkan pencarian itu, kemenangan sudah menjadi satu kemestian di Santiago Bernabeu menentang Plzen, kelab Czech yang hanya menang dua aksi Liga Juara-Juara dalam sejarah mereka.

Kemudian elak kekalahan kepada Barcelona, yang akan beraksi tanpa Lionel Messi yang cedera, beliau mungkin boleh meraih kemenangan dalam tiga aksi berikutnya menentang Melilla dalam Piala Raja Sepanyol, Real Valladolid dalam liga dan Plzen sekali lagi di Republik Czech. Menang semuanya, masa depannya mungkin selamat buat seketika.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 4:43 PM