NIKO KOVAC
AFP

BERLIN: Bayern Munich bertolak ke Greece bagi bertemu AEK Athens dalam Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu ini dengan mendapat suntikan semangat susulan kemenangan Bundesliga yang  dianggap seperti ‘pembebasan’ selepas persembahan buruk dan minggu yang sukar sebelum ini.

Tekanan dihadapi juara Jerman itu dan juga jurulatih baru, Niko Kovac ketika mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan sehingga ikon kelab itu termasuk Karl-Heinz Rummenigge dan Uli Hoeness turut ‘menghentam’ media.

Namun kemenangan 3-1 ke atas Wolfsburg yang menyaksikan Robert Lewandowski menjaringkan dua gol untuk mengakhiri kemarau gol lima perlawanan mampu menjadi titik kebangkitan Bayern.

“Terasa seperti pembebasan,” kata pertahanan tengah, Mats Hummels, sementara pengarah sukan, Hasan Salihamidzic juga merasa lega apabila berkata: “Kami sudah menunjukkan karakter pada saat sukar.”

Kemuncak ketegangan berlaku pada Jumaat lalu apabila Rummenigge, Hoeness dan Salihamidzic mengkritik media atas laporan ‘meloyakan dan tidak menghormati’ atas persembahan buruk Bayern dalam beberapa minggu ini.

Tiga mata yang diperoleh pada Sabtu lalu mengembalikan ketenangan di Arena Allianz tetapi tekanan masih dihadapi Kovac menjelang ke Athens, selepas tuan rumah seri 1-1 bersama Ajax sekali gus memberikan harapan kepada Bayern yang berada di Kumpulan E.

Kovac kelihatan berwaspada meluahkan pendapatnya tentang kebangkitan semula prestasi Bayern yang memburu gelaran Jerman buat kali keenam dengan menggambarkan kemenangan di Wolfsburg sebagai ‘hanya kecil dan langkah pertama ke hala yang betul.’  

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 12:23 PM