BALOTELLI (kiri) cuba merampas bola daripada Sanson. -Foto EPA
AFP

PARIS:  Nice yang dikemudi Patrick Vieira tewas kali keempat daripada lima perlawanan liga di laman sendiri musim ini apabila jaringan Morgan Sanson pada babak pertama permainan menjamin kemenangan 1-0 Marseille dalam aksi Ligue 1, awal pagi tadi.

Ia prestasi kurang memuaskan dipamerkan Nice, sebuah kelab yang kini berada di tangga ke-14 carta dan hanya dua mata di atas zon penyingkiran selain dibezakan lapan mata daripada penghuni tangga keempat, Marseille.

Vieira yang memerlukan keputusan yang baik sekiranya mahu mengekalkan karier untuk jangka masa panjang, bertemu bekas rakan sepasukan Arsenal dan Perancis, Thierry Henry apabila kelabnya dijadual berkunjung ke Monaco, 8 Disember ini.

“Malangnya, perlawanan malam ini mencerminkan perlawanan kami di laman sendiri yang lain,” kata Vieira.

“(Penyerang) Allan (Saint-Maximin), Mario (Balotelli) dan Myziane (Maolida) tidak begitu menyerlah. Pada 30 meter akhir, terdapat kekurangan kualiti, kami tidak begitu melakukan keputusan yang betul.”

Bagi Marseille, tumpuan mereka kini terarah kepada pertembungan Ahad ini bersama seteru utama dan pendahulu liga Paris Saint-Germain di Velodrome.

Pasukan tuan rumah menyertai perlawanan dengan hanya berbekalkan tujuh gol dalam sembilan perlawanan liga musim ini dan Vieira membuat percaturan menyenaraikan Balotelli untuk penampilan ketiganya bagi kempen kali ini.

Peluang pertama yang terhidang di Allianz Riviera adalah milik pemain kebangsaan Itali itu namun tidak berupaya untuk menembusi gawang dikawal Steve Mandanda.

Satu usaha yang dilakukan Balotelli berjaya mencipta ruang jaringan buat Allan Saint-Maximin tetapi sepakannya mudah dijinakkan Mandanda.

Pasukan pelawat membuka tirai jaringan pada minit ke-42 apabila bek, Bouna Sarr melakukan hantaran kepada Sanson untuk melakukan penyudah.

Balotelli yang dikaitkan dengan Marseille pada pramusim sebelum membuat keputusan kekal di Nice, gagal meledakkan gol musim ini selepas menjaringkan 43 gol sepanjang dua kempen lalu.

“Mario? Dia sama seperti pasukan - sangat bagus pada babak pertama kemudian dia tidak begitu bagus. Dia masih perlu berusaha,” kata Vieira.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 7:12 AM