PEMAIN Bayern Munich, Robert Lewandowski meraikan jaringan ketika menentang VfL Wolfsburg. FOTO AFP
AFP

WOLFSBURG: Bayern Munich menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam empat perlawanan apabila menewaskan Wolfsburg 3-1, dalam saingan Bundesliga, Jerman awal pagi tadi.

Kemenangan itu hadir sehari selepas pengurusan tertinggi kelab itu melancarkan serangan ke atas media di Jerman.

Selepas mengalami kekalahan berturut-turut, Bayern melonjak dari tangga keenam ke kedudukan ketiga liga, empat mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund.

Dortmund menewaskan Stuttgart 4-0, dengan Paco Alacer merekodkan gol ketujuh daripada empat perlawanan Bundesliga.

Bayern kembali meraih kemenangan di Wolfsburg sehari selepas pengerusi kelab, Karl-Heinz Rummenigge dan Presiden, Uli Hoeness mengecam media di Jerman kerana laporan ‘tidak sopan dan menjijikkan’.

Bayern melakar kemenangan biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada baki 30 minit perlawanan, selepas Arjen Robben dibuang padang kerana mengutip kad kuning kedua.

“Terlalu banyak tekanan untuk perlawanan ini dan saya mahu berterima kasih kepada pemain kerana mempamerkan prestasi terbaik mereka.

“Pemain kekal fokus dan ini adalah langkah pertama kami bagi membuktikan Bayern mampu kembali bangkit,” kata jurulatih Bayern, Nico Kovac.

Robert Lewandowski meledak dua gol awal bagi meletakkan Bayern di depan pada minit ke-30 dan 48, sebelum Wout Weghorst merapatkan jurang buat Wolfsburg menerusi jaringannya minit ke-63.

Bagaimanapun, kebangkitan Wolfsburg ‘dibunuh’ dengan gol ketiga Bayern menerusi jaringan James Rodríguez minit ke-72.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 10:19 AM