JOSE Mourinho (kanan) ketika membimbing bekas kelabnya, Chelsea akui skuad The Blues mampu menjuarai Liga Perdana. FOTO AFP
AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Jose Mourinho yakin bekas kelabnya, Chelsea mampu menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) jika Eden Hazard mengekalkan prestasi cemerlang selaku pemain terbaik liga.

Menjelang kunjungan ke Stamford Bridge malam ini, pengurus Manchester United ini sekali lagi menegaskan, Chelsea mampu mengulangi pencapaian bergelar juara apabila Hazard berada di puncak prestasi.

Penyerang Belgium itu pernah menjadi tonggak utama Chelsea ketika di bawah bimbingan Mourinho pada musim 2014/15 dan bersama Antonio Conte pada musim 2016/17.

Hazard memulakan musim ini dengan meledak lapan gol daripada 10 penampilan tanpa kalah di bawah bimbingan Maurizio Sarri - untuk berkongsi kedudukan kelompok tiga teratas liga bersama Manchester City dan Liverpool.

Manakala, United pula ketinggalan tujuh mata.

“Keputusan yang baik, berada di puncak liga dan sudah pasti, mereka ada ramai pemain bagus, tetapi jika dinilai berdasarkan sejarah, Chelsea akan muncul juara jika Eden Hazard kekal sebagai pemain terbaik Liga Perdana,” kata Mourinho.

“Ia pernah berlaku ketika era saya dan Antonio. Bagi musim ini, ia masih terlalu awal tetapi dia (Hazard) masih kekal selaku pemain terbaik setakat ini.

“Chelsea berada di kelompok teratas liga kerana memiliki pemain yang mampu memberikan impak besar kepada pasukan.

Hazard dan Mourinho gagal menamatkan musim terbaik apabila pengendali dari Portugal itu dipecat buat kali kedua di Stamford Bridge pada Disember 2015, - ketika Chelsea berada di tangga ke-16 liga dan Hazard gagal menjaringkan sebarang gol.

Hazard sendiri pernah mengakui, jika diberi pilihan, dia mahu kembali dibimbing Mourinho.

Mourinho pula percaya perkara itu tidak akan berlaku lagi namun menegaskan, mereka mempunyai hubungan yang baik.

“Saya akan gembira jika dia berada di Manchester United, namun saya fikir Chelsea tidak akan melepaskannya kepada kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 7:53 AM