Hafizh bersama pocket bike elektrik pada sesi bertemu peminat menjelang GP Jepun. FOTO REUTERS
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap dapat memperbaiki catatan masa yang dilakukannya pada hari pertama Grand Prix Jepun di Litar Motegi, esok.

Hari ini, pelumba Monster Yamaha Tech3 itu menamatkan dua sesi latihan bebas dengan berada di tempat ke-24 keseluruhan menerusi catatan 1 minit 47.726 saat dilakukannya pada sesi latihan bebas pertama.

Hafizh bagaimanapun tidak dapat memperbaiki catatan dilakukannya pada sesi kedua berlangsung atas permukaan litar basah-kering dengan masa terbaik 1:49.387s.

“Pada hari pertama ini, saya tidak melakukan banyak pusingan atas permukaan kering tapi saya berasa selesa dengan jentera.

“Pada percubaan terakhir pagi tadi, kami mempunyai isu kecil dengan brek, jadi kami tidak berupaya untuk mempamerkan peningkatan dan saya berhenti.

“Kemudian pada FP2 (sesi latihan bebas 2), saya berasa amat bagus tapi masa tidak begitu mencukupi untuk menggunakan masa (permukaan) kering dengan begitu baik.

“Secara keseluruhannya, saya agak gembira dan yakin kami mampu mengurangkan lagi catatan masa sepusingan pagi esok,” katanya.

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso muncul selaku pelumba terpantas bagi sesi latihan bebas hari ini dengan masa 1:45.358s.

Jadual esok:

Sesi latihan bebas 3 (Moto3) 8.00-8.40 pagi

Sesi latihan bebas 3 (MotoGP) 8.55-9.40 pagi

Sesi latihan bebas 3 (Moto2) 9.55-10.40 pagi

Sesi kelayakan (Moto3) 11.35-12.15 tengah hari

Sesi latihan bebas 4 (MotoGP) 12.30 tengah hari-1.00 petang

Sesi kelayakan 1 (MotoGP) 1.10-1.25 petang

Sesi kelayakan 2 (MotoGP) 1.35-1.50 petang

Sesi kelayakan (Moto2) 2.05-2.50 petang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 4:29 PM