KHABIB (kanan) mencabar Mayweather. FOTO/AGENSI
AFP

LOS ANGELES: Bekas juara tinju welterweight dunia Floyd Mayweather menegaskan dia merancang untuk bertarung dengan bintang seni bela diri campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov berikutan kemenangan jaguh Russia itu ke atas Conor McGregor.

Dalam kenyataannya di laman TMZ Sports, Mayweather yakin pertarungan dengan Nurmagomedov akan menjadi kenyataan dengan syarat ia diadakan dalam gelanggang tinju.

“Kami akan bertarung,” kata petinju 41 tahun itu kepada TMZ. “Saya bos kepada diri saya sendiri. Saya tidak boleh bercakap untuk pihak Khabib, tetapi bagi pihak saya kami akan menjadikannya kenyataan.”

Mayweather yang kembali daripada persaraan untuk menewaskan McGregor di Las Vegas tahun lalu menekankan yang sebarang pertarungan dengan Khabib perlu mengikut peraturan tinju.

“Dia yang mencabar saya, jadi dia perlu datang ke dunia saya,” kata Mayweather yang mempunyai rekod 50-0 dan pertarungan dengan Khabib (27-0) bakal menawarkan bayaran cukup lumayan.

“Apabila bertemu Khabib, saya akan dibayar sembilan angka. Lebih daripada pertarungan McGregor. Mungkin tambahan AS$100 juta (RM415.6 juta).”

Khabib sebelum ini turut menyatakan minatnya untuk berdepan Mayweather.

“Ayuh Floyd. Kita perlu bertarung sekarang. 50-0 lawan 27-0. Kita dua lelaki yang belum pernah tewas. Di dalam hutan hanya ada seorang raja. Sudah tentu sayalah orangnya kerana dia tidak boleh menjatuhkan McGregor tetapi saya melakukannya dengan mudah. Ayuh,” kata Khabib.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 8:55 AM