GROENEVELD (tengah) ketika meraikan gol ketika menentang Belgium. FOTO/AFP
AFP

BRUSSELS: Belanda meneruskan rentak positif di bawah kendalian Ronald Koeman dengan jaringan antarabangsa pertama pemain mudanya, Arnaut Groeneveld memastikan keputusan seri 1-1 menentang Belgium dalam aksi persahabatan di Brussels, awal pagi tadi.

Dries Mertens meletakkan Belgium di depan pada minit keenam, tetapi Groeneveld menjadikan penampilan penuh pertamanya untuk Belanda cukup bermakna dengan gol penyamaan pada minit ke-27.

Ia satu lagi persembahan mantap daripada The Oranje selepas mengejutkan Jerman 3-0 dalam aksi Kumpulan 1 Liga A Liga Negara-Negara Sabtu lalu, manakala Belgium kendalian Roberto Martinez mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri sejak tewas kepada Sepanyol pada September 2016.

“Saya rasa masih banyak kerja perlu dilakukan, tetapi kami menunjukkan yang kami ada kemajuan sejak akhir-akhir ini dan di akhir perlawanan kami cuba meningkatkan serangan untuk meraih kemenangan,” kata Koeman yang berpuas hati dengan pencapai pasukannya sepanjang 10 hari ini.

Tuan rumah membuka jaringan menerusi pemain sayap Napoli, Mertens yang memanfaatkan kelekaan benteng Belanda dengan melencong bola melepasi penjaga gol Jasper Cillessen dan dua pemain di atas garisan gol.

Belanda hampir menyamakan kedudukan sejurus kemudian tetapi percubaan Memphis Depay terkena kaki Simon Mignolet yang tampil untuk Belgium buat kali pertama sejak Mac.

Penyerang Lyon itu kemudian membelah pertahanan lawan pada minit ke-27 dengan hantaran sempurna kepada pemain sayap kelahiran Nigeria, Groeneveld yang meledak gol penyamaan pada penampilan keduanya selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Jerman.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 8:22 AM