PRESIDEN FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. FOTO Luqman Hakim Zubir
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Tuntutan 67 ahli kelab gabungan yang mendesak Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) adalah tidak sah.

Perkembangan itu diumumkan Presidennya, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi satu kenyataan hari ini selepas badan induk itu mendapati permintaan untuk mengadakan EGM tidak mencapai kuota diperlukan.

Ia selepas Sekretariat Agung menerima penarikan permintaan melangsungkan EGM itu daripada beberapa ahli kelab gabungan meskipun ia dikatakan diwakili Roslin Shariff dan serta mengandungi tandatangan tidak sah.

“Berdasarkan surat dari Roslin yang diterima pada 1 Oktober lalu, Sekretariat Agung FAS sudah menjalankan tugas pentadbirannya dan mempertimbangkan permintaan terbabit.

“Dalam mempertimbangkan permintaan Roslin yang dikatakan mewakili permintaan 67 ahli kelab gabungan, Sekretariat Agung FAS sudah menerima penarikan permintaan terbabit daripada beberapa ahli kelab gabungan. 

“Selain itu, terdapat juga permintaan dibuat ahli kelab gabungan yang tidak sah, ditandatangani oleh penandatangan yang tidak diberikan kuasa dan penandatangan yang muflis serta terdapat surat permintaan yang mengandungi tandatangan palsu.

“Selaras dengan perlembagaan FAS, penganjuran EGM yang dimahukan adalah tidak sah dan kami akan memaklumkan Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai perkembangan perkara ini,” kata Tengku Amir.

Terdahulu, Sukan NSTP melaporkan segelintir ahli gabungan FAS yang diketuai Presiden Kelab Bolasepak Frenz United, Roslin Shariff mendesak supaya EGM  diadakan.

Mereka mendakwa hak dan kepentingan ahli gabungan ditindas dan diketepikan termasuklah pemecatan 55 individu dan wakil dari kelab gabungan menganggotai Jawatankuasa Tetap FAS tanpa sebab munasabah.

Malah, beliau turut mendakwa pelantikan dua Naib Presiden iaitu Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon dibuat secara tidak sah, namun ia disangkal Timbalan Presiden, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mengesahkan pelantikan itu terbabit adalah sah kerana mengikut Statut FAS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 7:41 PM