PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melawat ruangan e-sukan selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2018 di Stadium Bukit Jalil. FOTO Luqman Hakim Zubir
Jumiati Rosly
jumiati@nstp.com.my

 

KEMENTERIAN Belia dan Sukan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab baru sukan elektronik (e-sukan) di Asia Tenggara.

“Asia Tenggara adalah rantau yang berkembang paling pesat dalam e-sukan.

“Kami nak posisikan Malaysia sebagai hab baru e-sukan di ASEAN dan seperti taklimat tadi kepada Tun Dr Mahathir (Mohamad), pendapatan yang diperoleh menerusi e-sukan sudah mahu mencecah AS$600 juta (RM2.5 bilion) dan jumlahnya teramat besar,” kata Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas majlis perasmian Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan, di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata, peluang pekerjaan yang tercipta hasil daripada industri e-sukan juga banyak.

“Peluang pekerjaan yang dicipta adalah pekerjaan berkualiti tinggi. Minat anak muda bukan sekadar main e-sukan tapi minat dalam bidang seperti pembangunan komputer dan kejuruteraan IT (teknologi maklumat),” katanya.

Beliau berkata, e-sukan diselitkan secara rasmi pada sambutan Hari Sukan Negara kali ini di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil dan akan diteruskan pada sambutan akan datang.

Pada Hari Sukan Negara yang berlangsung buat tahun ketiga hari ini, Syed Saddiq berkata, lebih kurang sejuta orang terbabit dalam sambutan yang diadakan di seluruh negara secara serentak.

“Secara keseluruhan lebih kurang 20,000 peserta terbabit di Bandar Sukan Kuala Lumpur dan selebihnya di seluruh negara,” katanya mengenai sambutan itu yang diadakan pada setiap Sabtu minggu kedua bulan Oktober dengan tujuan menjadikan negara sebagai negara bersukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 5:07 PM