PELANTIKAN Izhar (kiri) terbukti tidak melanggar apa-apa peraturan. -Foto fail
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Ahli gabungan yang tidak berpuas hati dengan perlantikan dua Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) diseru supaya bertenang dan usah cepat melatah.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, pelantikan dua naib presiden – Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal – terbukti tidak melanggar apa-apa peraturan.

Menurutnya, kedua-duanya baharu memasuki bulan keempat bersama FAS dan mereka harus diberi peluang untuk membawa agenda perubahan kepada persatuan itu.

Malah, pelantikan kedua-dua individu terbabit adalah menerusi cadangan Presiden FAS sendiri, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang pastinya sedia maklum dengan kemampuan dan kredebiliti mereka berdua.

“Betul kalau ikutkan, mereka berdua masih muda dan baharu dalam hal bola sepak tempatan.

“Bagaimanapun, mereka ada keistimewaan iaitu minat mendalam selain latar belakang pendidikan yang cukup tinggi bagi memacu perubahan selari dengan bola sepak moden yang kini lebih bersifat korporat dalam menjana pendapatan sendiri tanpa mengharapkan bantuan kewangan kerajaan negeri.

“Lihat pada kejayaan SCL (Selangor Champions League) yang dicetuskan Tengku Amir dengan gerak kerjanya dilakukan Izhar dan Dr Johan. Saya percaya ‘model’ sama ingin dilaksanakan kepimpinan baharu ini di mana profesionalisma diutamakan apabila menerajui sesebuah organisasi.

“Jadi tempoh empat bulan terlalu singkat untuk mengukur keupayaan mereka. Beri mereka masa dan kita sepatutnya menyokong apa jua perubahan dilakukan barisan FAS ketika ini,” katanya.

Semalam, FAS menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri Shahril Mokhtar menemplak usaha sesetengah pihak yang sengaja menyebarkan dakwaan tidak benar berkaitan perlantikan dua naib presiden itu yang dikatakan tidak sah dan gagal mengikut perlembagaan persatuan.

Shahril menegaskan, pelantikan Izhar dan Dr Johan yang menggantikan Datuk Lim Thean Seang dan Nizam Sani kerana meletakkan jawatan adalah sah dan mengikut peraturan sedia ada.

“Macam saya katakan tadi, ketepikan isu-isu remeh atau tolak terus budaya ‘politik’ dalam persatuan kerana ia akan menggagalkan usaha memperkasakan FAS dan pasukan Red Giants.

“Bagi saya, selagi keputusan dibuat barisan kepemimpinan FAS menguntungkan pasukan, jadi apa salahnya kita ikut. Kami sebagai penyokong mahu yang terbaik dan saya percaya ahli gabungan juga impikan perkara sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 1:49 PM