PAUL POGBA
AFP

CLAIREFONTAINE-EN-YVELINES, Perancis: Pemain tengah Perancis dan Manchester United, Paul Pogba menegaskan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan memberikannya kebebasan menunjukkan kehebatan dan menjadi pemimpin pasukan.

Pogba berdepan kritikan kerana gagal mengulangi persembahan mengagumkan pada Piala Dunia buat United yang sudah merudum pada awal musim ini.

Laporan mengenai keretakan hubungan Pogba dengan bos United, Jose Mourinho langsung tidak boleh disentuh dalam temu bual di pangkalan latihan Perancis itu.

Permulaan sukar United dalam Liga Perdana Inggeris jauh berbanding kegemilangan dicipta Perancis di Russia, namun selepas bergabung semula dengan rakan sepasukan Perancis, Pogba gembira mengulangi pandangan pertahanan Adil Rami bahawa dia adalah “pemimpin sebenar” pasukan di Piala Dunia.

“Sesuatu yang amat menggembirakan apabila mendengar Adil berkata begitu,” kata Pogba. “Saya tidak akan katakan ia saya, skuad yang meletakkan saya dalam posisi itu, yang memberikan kebebasan buat saya untuk melakukan apa yang saya mahu lakukan. Mereka juga memberikan saya keyakinan.

“Saya tidak boleh melakukannya tanpa mereka. Semua bermula sebegitu, dari pangkalan latihan kami. Saya bercakap dengan Hugo (Lloris), Blaise (Matuidi), (Raphael) Varane untuk mengatakan di Piala Dunia kami perlu memberikan semuanya untuk menang. Kami berazam tinggi.”

Pogba melakukan penampilan pertama bersama Perancis pada 2013 dan sudah beraksi 62 perlawanan serta tampil dalam tiga kejohanan utama.

“Dengan usia saya, 25 tahun, saya berada antara dua set pemain, paling tua dan paling muda. Ia membolehkan saya untuk memberikan mesej dan ada peluang untuk didengar,” katanya.

“Saya boleh beritahu apa yang saya rasakan, memberikan mesej kepada pemain paling tua dan paling muda. Saya berada di tengah-tengah.”

Perancis akan berdepan Iceland pada aksi persahabatan di Guingamp esok dan meneruskan saingan kempen Liga Negara Eropah di laman sendiri menentang Jerman pada 16 Oktober selepas seri 0-0 di Munich bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 7:32 AM