ANTARA aksi Ironman Malaysia yang lalu. FOTO/FAIL
DigitalHM
Digital@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Perlumbaan sukan lasak, Ironman Malaysia yang dijadual pada 17 November ini di Langkawi mensasarkan untuk menarik penyertaan 2,000 atlet, selain mengharapkan peningkatan daripada segi jumlah negara bertanding.

Pada musim lalu, sebanyak 60 negara mengambil bahagian pada perlumbaan membabitkan tiga displin itu dan jumlah penyertaan dijangka akan meningkat sempena sambutan ke-40 penganjuran Ironman.

Langkawi sekali lagi menjadi pilihan penganjuran Ironman Malaysia dengan pemilihan laluannya yang panjang dan berangin, ditambah pula pemandangan indahnya yang merangkumi pantai pasir putih lembut serta permukaan bukit.

“Langkawi sentiasa kekal sebagai destinasi indah lagi mencabar yang hendak ditawan peserta Ironman pada setiap tahun,” kata kenyataan itu.

Ironman Malaysia di Langkawi dianjurkan buat julung kalinya pada 2000 dan sejak itu diadakan secara berterusan untuk sedekad lamanya sebelum terhenti seketika, namun Ironman Malaysia tidak menunggu lama untuk membuat penampilan semula pada 2014 di Langkawi.

“Pemandangannya cukup indah sekali, satu acara yang dianjurkan dengan teratur dan laluan perlumbaan pun adalah antara yang paling unik di dunia,” demikian pujian Juara-Pro Wanita tiga kali Ironman Malaysia, Diana Riesler mengenai Pulau Langkawi.

“Sesiapa yang menagih cabaran Ironman yang istimewa dan berlainan wajib menyenaraikan Ironman Malaysia dalam jadual perlumbaan mereka.”

Ironman Malaysia juga telah menarik penyertaan ahli sukan daripada bidang yang lain, antaranya antaranya pelumba kereta kebangsaan, Nabil Jeffri dan bekas pemain skuasy negara Azlan Iskandar, yang masing-masing mengambil bahagian dalam Ironman 70.3 pada tahun lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 3:26 PM