RIYAD MAHREZ
Agensi

MANCHESTER: Riyad Mahrez menegaskan kegagalannya menyempurnakan penalti ketika berdepan Liverpool tidak akan merosakkan keyakinannya.

Pemain yang dibeli dengan rekod perpindahan Manchester City itu menyepak tinggi, lima minit sebelum tamat perlawanan ketika juara bertahan berkenaan seri tanpa jaringan dengan pencabar gelaran, Liverpool di Anfield.

Bekas penyerang Leicester City itu diberi kepercayaan mengambil sepakan penalti oleh pengurus, Pep Guardiola yang menyebabkan Gabriel Jesus kecewa, kerana kebiasaannya dia adalah pemain yang mengambil penalti jika Sergio Aguero tiada.

Ia adalah kali kelima pemain antarabangsa Algeria itu gagal menyempurnakan penalti dalam lapan percubaan.

“Ia adalah bola sepak, ia adalah kehidupan,” katad Mahrez yang hanya memulakan permainan kali ketiga dalam Liga Perdana sejak berpindah ke City.

“Ia tidak memberi kesan kepada saya. Semua orang terlepas penalti, walaupun pemain terhebat. Sudah tentu saya mahu melakukannya untuk membantu kemenangan pasukan.”

City hanya pernah menang sekali di Anfield sejak 1981 dan ia berlaku pada musim 2003.

 

Mahrez terpaksa menahan rasa kecewa apabila melepaskan peluang keemasan untuk menamatkan kemarau kemenangan di Anfield dan meraih tiga mata yang menjamin kedudukan mereka lebih selesa di puncak liga.

“Ia sebahagian daripada bola sepak, anda perlu terus ke depan dan kekal kuat. Kadang-kala anda menjaringkan gol, kadang-kala terlepas. Namun paling penting ialah persembahan kami sangat bagus,” kata Mahrez.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 12:05 PM