PEMAIN Itali, Mario Balotelli. FOTO Reuters
Reuters

MILAN: Mario Balotelli akan menyarung semula jersi Itali jika prestasinya kembali ke tahap terbaik, kata jurulatih Roberto Mancini susulan tindakannya menggugurkan nama penyerang kontroversi itu bagi dua aksi persahabatan bulan ini.

Mancini berkata, perkara yang sama digunakan terhadap penyerang Torino, Andrea Belotti yang turut disisihkan.

Kedua-dua keputusan berkenaan adalah berdasarkan ‘pertimbangan teknikal’, kata bekas pengendali Manchester City itu.

Balotelli kembali mewakili Itali selepas empat tahun diketepikan dan diberikan lilitan kapten oleh Mancini pada perlawanan pertama jurulatih itu pada Mei lalu.

Begitupun, penyerang berusia 28 tahun itu hanya beraksi sebanyak tiga kali bersama kelab Perancis, Nice pada musim ini dan tidak menjaringkan sebarang gol.

Belotti bermain dalam kelapan-lapan perlawanan bersama Torino dalam aksi Serie A musim ini tetapi dia hanya menjaringkan dua gol yang jelas jauh daripada kualiti dimilikinya.

“Mereka tidak berada di prestasi terbaik ketika ini tetapi mereka masih sebahagian daripada kumpulan dan pintu terbuka luas untuk semua orang,” kata Mancini. “Apabila mereka di tahap 100 peratus mereka akan dipanggil semula.”

Itali akan menanti kunjungan Ukraine dalam aksi persahabatan di Genoa, Khamis ini sebelum berkunjung ke Poland bagi saingan Liga Negara-Negara Eropah, empat hari kemudian.

Skuad kendalian Mancini ketika ini hanya mengumpul satu mata daripada dua perlawanan dalam kejohanan yang baharu diperkenalkan Kesatuan Bolasepak Eropah itu.

Mancini yang berusaha mengembalikan kegemilangan Itali selepas kegagalan ke Piala Dunia Russia turut merayu agar peminat pasukan itu supaya bersabar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 1:24 AM