PENGURUS Arsenal, Unai Emery. FOTO Reuters
AFP

LONDON: Kemenangan besar 5-1 Arsenal ke atas  Fulham semalam dalam kempen Liga Perdana Inggeris menyamai rekod kemenangan berturut-turut terbaik pasukan itu dalam tempoh 11 tahun.

Selepas mengharungi kempen longlai di bawah kendalian Arsene Wenger musim lalu, sembilan kemenangan berturut-turut yang dicatatkan setakat ini dalam semua kejohanan jelas sesuatu yang tidak dijangka.

Justeru, Sukan AFP menilai kembali punca kebangkitan Arsenal di bawah kendalian pengurus baharu, Unai Emery.

Emery hadir di Emirates dengan misi memulihkan kembali reputasi kelab yang merudum teruk musim lalu sekali gus menyaksikan era 22 tahun Wenger berakhir, tetapi pengendali dari Sepanyol itu pantas memenangi hati pemainnya dengan etika kerja yang tidak kenal erti penat.

Selepas tidak dikehendaki Paris Saint-Germain susulan kegagalan menjuarai Liga Juara-Juara, Emery begitupun memiliki resipi kejayaan selepas menghadiahkan kelab itu trofi Liga Perancis selain trofi Liga Europa kepada Sevilla.

Bagi meningkatkan kualiti pemainnya, Emery memberikan tumpuan terhadap sesi latihan keras serta rakaman video bagi mencari kelemahan pihak lawan sekali gus membolehkan anak buanya mengadaptasi kehendak Emery yang mahukan permainan tempo tinggi dan komitmen memulakan gerakan daripada belakang.

Selain itu, Emery juga membuktikan beliau tidak gentar dengan pemain bintangnya yang beraksi di bawah prestasi sebenar selepas dilaporkan memberi amaran kepada pemain Jerman, Mesut Ozil dia perlu bekerja keras untuk mengekalkan tempatnya.

Emery juga dapat menyelesaikan isu kontrak membabitkan Aaron Ramsey sebelum pemain tengah Wales membuktikan kelasnya dengan persembahan hebat dan gol menarik di Fulham, semalam.

Kejayaannya mencari keseimbangan di antara dua penyerang bintangnya, Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang juga mengembalikan ketajaman Arsenal di depan gawang, sesuatu yang gagal dilakukan Wenger sebelum ini.

Emery menyelesaikan masalah itu dengan menyenaraikan Lacazette sebagai penyerang tengah baru-baru ini dan memberikan Aubameyang peranan lebih luas.

Lacazette ketika ini sudah mengumpul lima gol dengan Aubameyang  mengumpul enam sekali pun digunakan sebagai pemain gantian ketika menentang Fulham manakala Alex Iwobi juga lebih berpengaruh di bahagian sayap.

Sekali pun sedang menikmati persembahan menakjubkan, Arsenal begitupun tidak terlepas daripada pemerhatian tajam peminatnya apabila kemenangan yang diraih bukan hadir daripada pasukan yang mencabar kejuaraan.

Sembilan kemenangan Arsenal hadir selepas menewaskan West Ham, Cardiff, Newcastle, Everton, Watford dan Fulham dalam Liga Perdana selain Brentford (Piala Liga) dan Vorskla Poltava serta Qarabag dalam Liga Europa.

Kekalahan kepada Manchester City dan Chelsea pada permulaan musim memberi peringatan betapa pertemuan dengan Liverpool, Tottenham dan Manchester United pada November dan Disember ini akan memberi bukti lebih kukuh sama ada Gunners benar-benar boleh diiktiraf pencabar kejuaraan sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 7:48 PM