LORENZO INSIGNE

MILAN: Napoli kembali merapatkan jurang enam mata kepada pendahulu Serie A, Juventus apabila gol jaringan Adam Ounas serta Lorenzo Insigne memastikan kemenangan 2-0 ke atas Sassuolo, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Carlo Ancelotti hilang rentak ketika tumbang kepada Juve di Turin, hujung minggu lalu.

Namun, mereka berjaya mengelak daripada terus ketinggalan jauh selepas tewas kepada Juventus apabila Cristiano Ronaldo meledak jaringan untuk memastikan juara bertahan itu terus mengekalkan rentak kemenangan di Udinese, Sabtu lalu.

“Kami bermain dan menikmati perlawanan yang cukup baik hari ini dan Sassuolo bukanlah pasukan yang mudah dijinakkan,” kata Ancelotti.

Pemain remaja Algeria, Ounas, melakukan penampilan penuh pertama di Serie A dan berjaya memberikan impak besar kepada Napoli apabila meledak jaringan seawal minit ketiga.

Ounas, 21, bijak memanfaatkan peluang apabila mencuri bola hantaran ke belakang oleh Manuel Locatelli, sebelum melambung bola melepasi bek tengah, Manuel Locatelli dan melakukan voli untuk meledak gol pertama di Itali.

Insigne masuk di babak kedua dan berjaya memastikan kemenangan dengan gaya tersendiri apabila memecah masuk ke kubu lawan melalui sayap kiri sebelum melakukan rembatan ke penjuru gawang, ketika perlawanan berbaki 18 minit.

“Saya sedang menikmati kemuncak prestasi, saya harap mampu mengekalkan rentak ini dan terus melakukan jaringan. Namun, lebih penting saya mahukan Napoli mampu menempuh cabaran dalam semua kejohanan,” kata Insigne.

Sebelum itu, Insigne meledak jaringan kemenangan dan gol tunggal perlawanan ketika Napoli menang 1-0 ke atas Liverpool dalam Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Dalam aksi pagi tadi, Napoli menamatkan perlawanan dengan menentang lawan yang beraksi dengan 10 pemain, selepas bek Sassuolo, Rogerio dilayangkan kad merah.

Sementara itu, Inter Milan pula melonjak ke tangga ketiga liga, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu selepas membenam SPAL, 2-1, hasil dua jaringan kapten, Mauro Icardi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 8:46 AM