NIKO KOVAC
AFP

BERLIN: Ketua jurulatih Niko Kovac berkata, kesilapan individu menjadi punca kemerosotan prestasi Bayern Munich dan kekalahan terbaru 3-0 kepada Borussia Moenchengladbach di tempat sendiri awal pagi tadi mengakibatkan mereka terperosok di tangga kelima.

Selepas tewas 2-0 di Hertha Berlin minggu lalu dan seri 1-1 dengan Ajax di tempat sendiri dalam aksi Liga Juara-Juara menyaksikan Bayern tidak menang dalam empat perlawanan dalam semua kejohanan.

Juara bertahan Bundesliga itu ketinggalan 2-0 memasuki minit ke-16 ketika menentang Gladbach hasil gol awal Alassane Plea dan kapten Lars Stindl sebelum Patrick Herrmann membolosi gawang tuan rumah pada lewat perlawanan.

Ini kali pertama Bayern tewas dua kali berturut-turut aksi liga sejak Mei 2015 itu pun selepas mereka menjuarai Bundesliga di bawah kendalian bekas jurulatih Pep Guardiola.

Kovac kini semakin tertekan selepas Bayern ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Borussia Dortmund dan di bawah slot Liga Juara-Juara sekali gus meresahkan pengerusi kelab Karl-Heinz Rummenigge dan Presiden Uli Hoeness.

“Saya memiliki sokongan mereka selepas tujuh perlawanan pertama (ketika Bayern tidak tewas). Oleh itu saya anggap saya masih mempunyainya tetapi pada akhirnya saya bukanlah orang yang boleh menjawabnya,” kata Kovac.

“Saya menyatakan sesuatu kepada pemain tetapi tak perlulah dibawa keluar daripada bilik persalinan. Kami melakukan terlalu banyak kesilapan individu.”

“Kami perlu bergerak sebagai satu unit tetapi akhirnya kami bolos tiga gol,” katanya.

Ini adalah kempen terburuk permulaan musim buat Bayern dalam masa lapan tahun dan kekalahan awal pagi tadi adalah yang paling mengecewakan sejak September 2017 apabila Carlo Ancelotti dipecat selepas tewas 3-0 kepada Paris Saint Germain dalam aksi Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 8:35 AM