Skuad Liverpool akan berdepan City. FOTO AFP
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


LIVERPOOL tampak berpeluang cerah untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 28 tahun apabila memperaga aksi sempurna dalam enam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Dilihat sebagai satu-satunya pasukan yang mampu menghalang Manchester City dari mempertahankan kejuaraan liga, anak buah Jurgen Klopp itu cemerlang meraih enam kemenangan dalam enam perlawanan untuk menghimpun 18 mata.

Namun, rentak sempurna mereka direncatkan dengan kekalahan 2-1 di tangan Chelsea pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris sebelum bernasib baik terikat 1-1 dengan lawan sama pada aksi liga namun dikejutkan Napoli 1-0 pada aksi Liga Juara Juara.

Situasi ini menyaksikan kredibiliti skuad The Reds yang kali terakhir merangkul kejuaraan liga pada 1990 itu kembali dipersoalkan sama ada mereka mampu untuk terus mencabar kejuaraan jika memperaga aksi kurang konsisten.

Namun, mereka kini memiliki peluang untuk membuktikan betapa tiga aksi buruk sebelum ini bukan petanda kejatuhan mereka apabila bertemu pendahulu liga, Manchester City pada aksi di Anfield, Ahad ini.

Pertembungan kedua-dua pasukan yang dilabel sebagai dua pasukan terbaik liga ketika ini sudah tentu menjanjikan aksi yang menarik terutama selepas melihat kekuatan yang seimbang daripada setiap sudut.

Pertembungan ini boleh dianggap ‘pertembungan yang mahal’ apabila membabitkan kelibat dua bekas penjaga gol termahal dunia, Ederson dan Allison Becker, pertahanan termahal dunia (Virgil van Dijk) bekas pertahanan termahal dunia (Nicolas Otamendi dan Benjamin Mendy) serta kehadiran Pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Mohamed Salah serta penjaring terbanyak sepanjang zaman City, Sergio Aguero.

Kedua-dua pasukan sudah tentu memburu kemenangan untuk menerajui takhta liga namun The Reds bukan sekadar mencari tiga mata malah turut mahukan kemenangan moral.

Mungkin masih terlalu awal untuk menyatakan Liverpool boleh bergelar juara jika menewaskan pasukan terkuat liga, namun setidak-tidaknya The Reds dapat memberi amaran kepada pencabar lain betapa mereka kembali serius untuk kembali ke landasan tepat dalam usaha merangkul gelaran.

Satu lagi pencabar kejuaraan, Chelsea akan berkunjung ke Stadium St Mary dan kejayaan meraih dua kemenangan berturut-turut di Liga Europa pasti memberi motivasi untuk mereka meraih kemenangan selepas keciciran mata dua kali berturut-turut dalam liga.

Penjaring terbanyak liga, Eden Hazard sekali lagi akan menjadi sandaran utama The Blues untuk merobek gawang The Saints selepas dua penyerangnya, Alvaro Morata dan Olivier Giroud masih bergelut apabila gandingan terbabit hanya mencetak satu gol dalam aksi liga setakat ini.

Sementara itu, bagi satu lagi aksi membabitkan juara liga 20 kali pada awal pagi Ahad, Manchester United dijadual bertemu pasukan di tangga ke-18 liga, Newcastle pada aksi di laman sendiri

Mourinho sudah tentu berdepan tekanan untuk kembali menjelmakan kemenangan selepas mencipta rekod peribadi terburuk dalam kariernya susulan kegagalan meraih kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut.

Apapun, berdasarkan prestasi semasa The Red Devils, mereka sudah tentu tidak berdepan masalah untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata ke atas Newcastle United namun jika mereka sekali lagi gagal menang, mungkin Mourinho sudah boleh bersedia untuk mengangkat kaki.

 

Brighton 1 West Ham United 2

Burnley 2 Huddersfield 0

Crystal Palace 0 Wolves 2

Watford 2 Bournemouth 1

Leicester City 1 Everton 1

Tottenham 3 Cardiff 0

Manchester United 1 Newcastle 1

Fulham 0 Arsenal 2

Southampton 1 Chelsea 2

Liverpool 2 Manchester City 2

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 5:02 PM