NEYMAR meraikan jaringannya. -Foto Reuters

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel menggambarkan Neymar sebagai ‘sensasi’ selepas pemain termahal dunia itu meledak hatrik ketika kelab itu membenam Red Star Belgrade, 6-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Sebelum perlawanan, pemain Brazil itu mengakui masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki yang memerlukan pembedahan dan terpaksa diketepikan selama tiga bulan, musim lalu.

Bagaimanapun, dia jelas mampu ‘merobek’ Red Star apabila meledak dua gol dalam tempoh dua minit - bermula dengan gol pembukaan pada minit ke-20 dalam perlawanan di Parc des Princes, sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-81.

“Saya amat gembira melihat usaha dilakukan keseluruhan pasukan tetapi Neymar begitu sensasi,” kata Tuchel.

“Kamu boleh merasakan yang dia seperti ‘kelaparan’ di setiap perlawanan apabila menyaksikan dia sentiasa mahu menjadi penentu, mahu mendapatkan bola, mahu menjadi watak penting dalam perlawanan.

“Dia adalah antara seorang pemain terbaik di Eropah dan ia adalah sesuatu yang amat penting buat kami.”

PSG meledak empat gol di babak pertama, termasuk dua hasil sumbangan Edinson Cavani (minit ke-37) dan Angel Di Maria (minit ke-41), sebelum Kylian Mbappe melengkapkan hari gemilang mereka pada minit ke-70.

Red Star meraih gol sagu hati hasil jaringan Marin, empat minit selepas Mbappe melengkapkan pesta gol PSG.

Aksi penuh bertenaga itu menyaksikan PSG bangkit mengubat kekecewaan selepas kekalahan 2-3 di tangan Liverpool, dua minggu lalu dan meraih mata pertama mereka dalam Kumpulan C.

Namun melihat Neymar bermain dengan senyuman di mukanya semula pastinya memberi semangat baharu buat juara Perancis itu.

“Kemenangan adalah perkara utama yang saya mahukan, tetapi apabila meledak gol, saya lebih gembira,” kata Neymar yang menyifatkan perlawanan itu adalah yang terbaik untuknya dan PSG musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 8:19 AM