PENGURUS Real Madrid, Julen Lopetegui (kiri) membawa masuk Luka Modric pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

MADRID: Kali terakhir Real Madrid mengharungi tiga perlawanan tanpa meledak sebarang gol adalah pada Januari 2007 yang menjadi musim terakhir Fabio Capello sebelum beliau dipecat. 

Selepas mengharungi permulaan cemerlang di bawah kendalian Julen Lopetegui musim ini ketumpulan jentera serangan dilihat mula menghantui peminat Real di Santiago Bernabeu.

Kekalahan 0-1 di CSKA Moscow, awal pagi tadi dalam kempen Liga Juara-Juara menambah tekanan yang menyaksikan gergasi Sepanyol itu kini mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan termasuk ketika bertemu Sevilla dan Atletico Madrid. 

Begitupun, dalam kempen domestik Real masih menghuni tangga teratas La Liga apabila berkongsi jumlah mata bersama Barcelona yang turut mengalami penurunan prestasi.

“Suasana di bilik persalinan tidak begitu baik,” kata pemain tengah Luka Modric. “Apabila kamu tidak menjaringkan gol untuk tiga perlawanan berturut-turut, ada sedikit kebimbangan.”

Dalam saingan Liga Juara-Juara, kekalahan menyaksikan Real menghuni tangga ketiga Kumpulan G di belakang CSKA dan Roma dengan Viktoria Plzen di kedudukan tercorot.

Ia tidak begitu membimbangkan seperti mereka sudah buktikan dua musim lalu tetapi ketumpulan jentera serangan selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo dan kegagalan kelab itu mencari pengganti berwibawa menyaksikan kritikan mula tiba.

“Sindrom Cristiano,” lapor akhbar El Pais dengan gol yang dijaringkan Real ketika ini kurang empat gol berbanding dua musim lalu dan ironinya ia disumbangkan Ronaldo.

“Tiada apa yang kami boleh lakukan. Dia memutuskan untuk pergi dan kami perlu menghormatinya,” kata Nacho. 

Penjaga gol, Keylor Navas pula berkata Ronaldo sudah menetapkan tahap yang amat tinggi. “Kamu tidak boleh menutup matahari dengan hanya menggunakan jari kamu,” katanya. 

Begitupun menentang CSKA, ketiadaan Gareth Bale dikatakan menjadi antara punca dengan Lopetegui berkata tuah tidak memihak skuad kendaliannya. 

“Kami tidak bertuah. Kami menggegar palang sebanyak tiga kali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 12:02 AM