SUMAREH (tengah) boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan pada 2 Mac 2019. -Foto fail
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Juara Piala FA, Pahang akhirnya boleh menarik nafas lega selepas pemain importnya, Mohamadou Sumareh boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bagaimanapun, pemain itu hanya boleh didaftarkan bermula Mac 2019 sekali gus menyaksikan dia tetap mengisi kuota pemain import pada jendela perpindahan pertama sebelum boleh bertukar status pada jendela perpindahan kedua.

Perkembangan itu diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi satu kenyataan, hari ini.

“Lembaga Pengarah MFL yang dipengerusikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah membuat keputusan untuk mengurangkan tempoh mengenai Peraturan Pemain Naturalisasi kepada pemain Pahang, Mohamadou Sumareh.

“Pada 2 Mac 2018, Pahang menghantar permohonan untuk mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan namun peraturan ditetapkan Manual Liga Malaysia meletakkan syarat bagi pemain naturalisasi hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan lima tahun selepas pemain terbabit mendapat pasport warga negara yang sah. 

“Bagaimanapun, melalui penyerahan analisis yang diterima Pahang menyatakan Sumareh sudah bermastautin di Malaysia sejak berumur 12 tahun dan pengetahuan ini memberikan sebab buat Lembaga Pengarah untuk membuat pertimbangan semula permohonan yang dikemukakan Pahang.

“Keputusan Lembaga Pengarah MFL kini membolehkan Pahang mendaftarkan Sumareh sebagai pemain tempatan setahun bermula dari tarikh permohonan Pahang iaitu pada 2 Mac 2018 dan ini bermakna Sumareh boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan bermula 2 Mac 2019,” kata MFL.

Sama ada kebetulan atau tidak, pengumuman MFL itu dibuat kira-kira tiga jam selepas pemain sayap itu mendapat panggilan menyertai kem latihan skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan kelas ‘A’ menentang Sri Lanka pada 12 Oktober dan menentang Republik Kyrgyz pada 16 Oktober.

Sebelum ini, pemain kelahiran Gambia itu perlu menunggu sehingga 2023 sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M).

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 3:29 PM