HAZARD (kanan) membuka tirai jaringan di Stamford Bridge. - Foto AFP
Agensi

LONDON: Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri percaya skuad kendaliannya “lebih dekat daripada disangka” dengan Liverpool selepas kedua-dua pasukan mengekalkan permulaan tanpa kalah Liga Perdana Inggeris musim ini dengan keputusan seri 1-1 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Pengendali dari Itali yang dilantik pada awal musim ini beranggapan Liverpool dan pendahulu Manchester City selangkah di hadapan Chelsea memandangkan kedua-dua rakan sejawatnya sudah lama bertapak di England, tetapi sekarang beliau mula berasa jurang itu tidak terlalu jauh.

Selepas menewaskan Liverpool 2-1 pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris Rabu lalu, Chelsea berdepan mereka dua kali dalam tempoh empat hari tanpa kalah.

Blues kini menghuni tangga ketiga liga, dua mata di belakang skuad kendalian Juergen Klopp dan juara bertahan City yang diurus Pep Guardiola.


SARRI dan Chelsea belum kalah dalam tujuh perlawanan liga setakat ini. - Foto Agensi

“Ada enam atau tujuh pasukan besar di sini yang juga terbaik di Eropah, bukan hanya di England,” kata Sarri. “Ia bukan mudah untuk layak ke Liga Juara-Juara.

“Kami akan cuba untuk kekal rapat dengan pasukan teratas dan kami perlu terus meningkatkan prestasi.”

Jaringan Eden Hazard pada minit ke-25 membuka tirai jaringan buat Chelsea sebelum pemain gantian, Daniel Sturridge menyamakan kedudukan seminit sebelum tamat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 1:50 PM