Syed Saddiq pelawa peminat bola sepak kongsi idea mengenai hala tuju NFDP. FOTO Twitter Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my

 

KUALA LUMPUR: Seluruh peminat bola sepak berpeluang berkongsi idea mengenai hala tuju Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) pada sesi ‘Town Hall’ bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Khamis ini.

Program yang akan berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil itu dibuka kepada 1,000 peserta terawal saja.

“Mari bersama saya dalam sesi ‘town hall’ khas peminat bola sepak tanah air bagi memberi ruang untuk sumbangan idea dalam proses menambah baik NFDP,” kata Syed Saddiq di akaun Twitter miliknya.

Peminat bola sepak dilihat mengkritik tindakan Syed Saddiq mendedahkan gaji Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim pada sidang media selepas skuad bawah 16 (B-16) tahun negara tersingkir daripada Kejohanan B-16 AFC, Khamis lalu. 

Menerusi satu kenyataan hari ini, Syed Saddiq turut mengakui bertanggungjawab ke atas seluruh arena sukan negara.

“Saya dengan penuh rasa rendah diri meminta maaf kepada penyokong bola sepak tanah air. Seperti anda semua, saya juga mengidamkan hari di mana Malaysia akan layak ke Piala Dunia.

“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya juga bertanggungjawab ke atas pembangunan semua sukan yang lain. Ada kalanya, keputusan yang sukar perlu dibuat demi pembangunan sukan negara secara keseluruhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 7:37 PM