RIYAD MAHREZ
AFP

MANCHESTER: Riyad Mahrez akan berusaha mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Pep Guardiola menentang Brighton, dengan pemain termahal Manchester City itu semakin serasi di Eastlands.

Pemain sayap Algeria itu, yang ditandatangani pada harga 60 juta pound (RM325 juta) dari Leicester ketika pra-musim, mengharungi permulaan perlahan bersama juara Liga Perdana Inggeris itu.

Mahrez hanya memulakan dua daripada enam perlawanan liga City setakat ini, walaupun peluangnya lebih terbuka dengan ketiadaan perancang utama Kevin De Bruyne yang perlu berehat beberapa bulan lagi akibat kecederaan ligamen lutut.

Guardiola sering memperkatakan tentang tempoh diperlukan seseorang pemain untuk menyesuaikan diri dengan corak permainannya dan Mahrez tidak terkecuali dalam membuktikan kemampuannya di kelab baru.

Namun selepas meledak dua kali apabila masuk sebagai pemain gantian dalam kemenangan 5-0 di Cardiff hujung minggu lalu - gol pertamanya sejak berpindah ke City - Mahrez yakin dia kini sudah mula serasi dengan tuntutan unik Guardiola.

“Pengurus banyak membantu saya, dan sepanjang dua minggu lalu, saya rasa lebih baik,” kata Mahrez, 27.

“Anda boleh melihatnya sendiri di atas padang. Saya tidak pernah merungut, saya hanya bekerja keras ketika latihan dan kini ia membuahkan hasil. Tetapi saya perlu terus bekerja keras - menjaringkan gol bukan perkara terakhir.”

Mahrez bukan pemain senior pertama City yang bergelut di awal musim pertama mereka. Sebelum ini penjaring terbanyak kelab Sergio Aguero turut mendedahkan bagaimana dia mengambil masa lama untuk menyesuaikan gaya permainannya selepas Guardiola mengambil alih kelab Etihad itu.

Tetapi dengan Mahrez mengisi kesebelasan utama dan menemui semula sentuhan jaringan, dalam kemenangan 3-0 ke atas Oxford United dalam saingan Piala Liga kelmarin, bekas bintang Leicester itu dianggap berjaya menambat hati Guardiola.

“Riyad mula mendapat rentak, seperti kita lihat bersama Leicester. Sebab itu saya suka bekerja dengan pemain sebegini,” kata Guardiola. “Mereka sering mencuba sebaik mungkin. Mereka main dengan senyuman sepanjang masa, untuk diri mereka dan untuk pasukan.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 11:03 AM