THOMAS TUCHEL
AFP

PARIS: Paris Saint-Germain mencipta rekod baru kelab apabila menang 4-1 ke atas Reims sekali gus kemenangan ketujuh daripada tujuh perlawanan musim ini serta mendahului lapan mata saingan Ligue 1 Perancis.

Dengan 21 mata penuh, jurulatih baru Thomas Tuchel mengatasi rekod permulaan terbaik sebelum ini iaitu 19 mata ketika pasukan itu dikendalikan Unai Emery musim lalu.

Juara bertahan itu boleh melakar sejarah sekali lagi Sabtu ini yang mana kemenangan ke atas Nice membolehkan PSG menyamai rekod sepanjang zaman Lille dengan lapan kemenangan pada permulaan musim yang dicatat pada 1936-37.

Kehilangan khidmat Lassana Diarra yang cedera dan Kylian Mbappe yang digantung perlawanan, PSG terlebih dahulu dikejutkan apabila ketinggalan seawal minit kedua apabila jaringan Xavier Chavalerin menggamamkan penonton di Parc des Princes.

Namun penyerang Uruguay, Edinson Cavani menyamakan kedudukan lima minit selepas itu dan kemudian memenangi penalti yang disempurnakan oleh Neymar pada minit ke-24.

Cavani meledak gol ketiga sebelum rehat bagi gol kelimanya musim ini, sama seperti Neymar.

Thomas Meunier merembat masuk gol keempat pada minit ke-55 selepas menerima umpanan penyerang muda Moussa Diaby sekali gus menceriakan bintang legenda bola keranjang AS, Michael Jordan yang berada di bandar itu untuk menyaksikan kejohanan golf Piala Ryder minggu ini.

“Kami amat gembira menjadi pasukan yang mencipta rekod,” kata Tuchel. “Ia matlamat besar malam ini, satu motivasi hebat buat kami untuk menang dan melakar rekod dalam sejarah kelab.”

Moussa Dembele menyumbat dua gol pertamanya buat Lyon dalam masa dua minit di Dijon untuk membantu pasukannya menang 3-0 sekali gus melonjak ke tangga kedua Ligue 1.

Penyerang berusia 22 tahun itu, yang berpindah dari Celtic pada 31 Ogos lalu, membuka tirai jaringan selepas 17 minit dengan kuisan menarik melepasi jangkauan penjaga gol dan dua minit kemudian menambah gol kedua menerusi sepakan akrobatik. Martin Terrier menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-35.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 11:55 AM